Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penghakiman Hamid Sultan menyimpang dari fakta kes - Timbang tara AIAC

Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Malaysia mempertahankan tindakannya memohon untuk menghapuskan bahagian penghakiman oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer dalam suatu kes.

Pusat timbang tara itu juga menafikan dakwaan Hamid bahawa AIAC memberi tekanan terhadapnya kerana penghakimannya yang menentang dan berbeza dengan hakim lain dalam kes Leap Modulation Sdn Bhd vs PCP Construction Sdn Bhd.

Pemangku pengarah AIAC, Vinayak Pradhan memberitahu Malaysiakini penghakiman Hamid telah menyimpang daripada fakta kes kerana kritikan Hamid terhadap pusat timbang tara itu tidak dibangkitkan oleh dua pihak yang bertikai.

"(Hamid) terus membuat ulasan dan dakwaan yang buruk terhadap AIAC dan pengarahnya.

"AIAC, walaupun tidak menjadi pihak kepada mahkamah tinggi dan prosiding Mahkamah Rayuan, menjadi sasaran penghinaan dan kecaman yang tidak berasas. 

"Ia berkenaan dengan perkara-perkara yang tidak dibangkitkan oleh mana-mana pihak kepada prosiding mahupun hakim lain sama ada secara lisan atau secara bertulis," kata Vinayak dalam maklum balasnya melalui e-mel.

Timbang tara (arbitration) ialah kaedah penyelesaian pertikaian alternatif (PPA) yang sering diamalkan dalam pertikaian kewangan di Malaysia, melibatkan orang yang berselisih faham membentangkan kes mereka di hadapan penimbang tara yang bebas, tidak berat sebelah dan merupakan pakar yang mempunyai pengetahuan undang-undang.

Penimbang tara seperti AIAC ini akan membuat award setelah melakukan pemeriksaan fakta-fakta dalam kes itu. Jika pihak-pihak yang terlibat telah bersetuju, award tersebut akan mengikat mereka. 

Dalam afidavit yang mengejutkan minggu lalu, Hamid mendakwa terdapat campur tangan kehakiman dalam kes tersebut, selepas Mahkamah Persekutuan banyak memadam bahagian penghakimannya yang dibuat pada Julai lepas.

Dalam penghakimannya, Hamid berkata "monopoli" AIAC dalam timbang tara dalam negara bertentangan dengan kedaulatan undang-undang.

Beliau mempertikaikan bayaran yang dikutip AIAC dan menggesa SPRM dan polis menyiasat badan itu.

Vinayak berkata penghakiman itu sangat mengejutkan AIAC, menjelaskan badan itu tidak diberi peluang mempertahankan dirinya.

"Memang terdapat pelanggaran nyata mengenai prinsip keadilan semulajadi dan hak asas untuk didengar - yang telah menjejaskan AIAC," katanya.

Permohonan AIAC

Oleh itu, beliau berkata AIAC memfailkan campur tangan dalam kes itu dan mengemukakan hujah bertulis penuh atas permohonannya untuk mengosongkan bahagian penghakiman Hamid.

Beliau berkata kedua-dua Leap Modulation atau PCP Construction tidak membantah permohonannya untuk campur tangan atau membuang penghakiman Hamid untuk diputuskan dengan segera.

"Selepas mendengar hujah daripada semua peguam dan tanpa bantahan direkodkan, Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan nasihat dan memansuhkan perenggan tertentu dalam penghakiman (Hamid) itu," katanya.

Vinayak berkata tiada salah laku mengenai perkara itu dan menolak dakwaan Hamid bahawa AIAC memerikan tekanan dalam penghakiman kes itu.

"AIAC atau barisan peguamnya tidak membuat sebaran cubaan untuk bercakap dengan hakim atau 'memberi tekanan' melalui 'individu yang bersimpati' atau sebaliknya.

RCI siasat dakwaan Hamid

"Sudah tentu, ia tidak dapat diterima sama sekali untuk berbuat demikian." katanya.

Dalam afidavitnya, Hamid berkata penghakimannya dipadamkan dengan cara "yang tidak pernah dibuat dalam bidang kuasa perundangan Komanwel."

Beliau mendakwa AIAC, melalui "individu yang bersimpati," mula memberikan terkanan terhadap penghakimannya membantahnya itu.

Beliau juga mendakwa beberapa hakim kanan telah membantu AIAC.

Peguam Arun Kasi telah membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai hal itu.

Kerajaan juga bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Penyiasatan Diraja bagi menyiasat dakwaan Hamid.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS