Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Tiada keperluan bagi Anggota Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim meneruskan cabaran terhadap pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) memandangkan kerajaan kini dipimpin oleh Pakatan Harapan, kata seorang peguam.

Syahredzan Johan yang juga setiausaha politik kepada Anggota Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, Anwar boleh menggunakan saluran lain untuk berbuat demikian.

“Saya tak rasa ada kewajaran untuk cabar. Ketika dia cabar (dulu) ia telah ditolak oleh mahkamah (Tinggi).

"Dan cabaran itu dibuat ketika kerajaan ketika itu tak terbuka untuk semak akta tersebut. Sekarang kita dah ada kerajaan baru, ada jalan lain yang boleh digunakan untuk menyemak semula akta ini melalui perundangan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Pada 2016, Anwar memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar keperlembagaan akta itu, sehari selepas ia diwartakan bawah Perkara 66(4A) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga memohon mahkamah mengisytiharkan pindaan perlembagaan pada 1993 - yang menyatakan jika Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenan suatu rang undang-undang (RUU) dalam masa 30 hari, ia akan diwartakan secara automatik - sebagai bertentangan dengan perlembagaan.

Kes itu akan didengari esok di mahkamah tinggi selepas Hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan demikian, apabila rayuan Anwar tidak dicabar oleh peguam kanan persekutuan Mazlifah Ayob yang mewakili kerajaan persekutuan.

Pada 23 Nov lalu Anwar berkata hasrat kerajaan untuk meminda dan bukannya memansuhkan MKN 2018 tidak bercanggah dengan pendiriannya.

Menurut Presiden PKR itu lagi, apa yang penting adalah bentuk akhir undang-undang itu selepas dipinda.

Sebelum ini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk meminda dan bukannya menghapuskan Akta MKN.

Untuk rekod, PH dalam manifesto pilihan rayanya berjanji untuk memansuhkan akta berkenaan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kemudian berkata kerajaan sedang mengambil kira maklum balas dan akan hanya membuat keputusan selepas ia dikaji.

Mengulas lanjut, Syahredzan berkata walaupun sebelum ni kerajaan mengumumkan akan mengekalkan akta tersebut namun dengan proses perundangan yang lain, ia tetap boleh dipinda atau dikekalkan.

“Jadi sebelum ini kerajaaan kata akan kekalkan akta tersebut, ia masih boleh dibuat pindaan ke atas akta tersebut untuk memastikan ia selari dengan perlembagaan persekutuan,” katanya.

Lihat Komen
ADS