Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes Anwar cabar akta MKN kembali ke Mahkamah Tinggi

Kes cabaran perlembagaan yang difailkan Anwar Ibrahim terhadap Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (MKN) dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ia selepas Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan demikian, apabila rayuan Anwar tidak dicabar oleh peguam kanan persekutuan Mazlifah Ayob yang mewakili kerajaan persekutuan.

Pada 14 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Anwar untuk mencabar keperlembagaan akta kontroversi itu.

Peguam Anwar, Gopal Sri Ram memberitahu panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Richard Malanjum, bahawa permohonan itu patut diluluskan memandangkan tiada bantahan daripada kerajaan.

Kes itu akan didengar di mahkamah tinggi pada 21 November ini.

Pada 2016, Anwar memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar keperlembagaan akta itu, sehari selepas ia diwartakan bawah Perkara 66(4A) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga memohon mahkamah mengisytiharkan pindaan perlembagaan pada 1993 - yang menyatakan jika Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenan suatu rang undang-undang (RUU) dalam masa 30 hari, ia akan diwartakan secara automatik - sebagai bertentangan dengan perlembagaan.

Pada 14 Oktober 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Anwar dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 6 November 2017.

RUU MKN diwartakan sebagai undang-undang pada Jun 2016 tanpa perkenan Agong. Ia di sebalik gesaan daripada Majlis Raja-raja agar RUU itu diperhalusi terlebih dulu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS