Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
18 keluarga di Taman Manggis dikeluarkan dari flat sewa k'jaan

Keluarga di 18 unit di flat Taman Manggis di Jalan Burma di Pulau Pinang diarah keluar kerana tidak layak untuk menduduki flat sewa kerajaan.

Unit-unit ini disewakan kepada keluarga yang tergolong kategori miskin tegar dengan kadar nominal RM100 sebulan.

Menurut sumber kerajaan, Pulau Pinang mempunyai sedikit toleransi bagi mereka yang "tidak layak menyewa unit tersebut yang dimaksudkan untuk golongan miskin tegar.

"Ini biasanya keluarga yang memperoleh pendapatan melebihi had pendapatan, ada yang mendapat pendapatan kira-kira RM5,000 hingga RM6,000 gaji bulanan, mempunyai kereta besar, manakala yang lain pula telah menyewa unit itu kepada orang asing," kata sumbernya, yang tidak mahu dikenali, kepada Malaysiakini.

Menurut sumber itu, penduduk yang terjejas diberi tempoh notis yang mencukupi, yang terbaru adalah pada Oktober tahun lepas, untuk mengosongkan unit mereka atau menghadapi pengusiran.

Bagaimanapun, beberapa penduduk menegaskan bahawa mereka tidak diberikan peringatan awal untuk mencari perumahan alternatif, dan untuk memindahkan barangan mereka.

Sejak semalam, unit-unit yang terjejas dikunci selepas keluarga dipaksa keluar oleh pegawai penguat kuasa.

Sebagai langkah sementara untuk menyelesaikan masalah itu, ADUN Komtar Teh Lai Heng berkata Jabatan Perumahan Negeri telah bersetuju untuk membenarkan mereka yang terbabit, tujuh hari lagi untuk berpindah.

"Mereka perlu mengosongkan unit mereka pada hari Rabu depan, 10 pagi," kata Teh.

Taman Manggis menjadi tajuk berita akhbar pada pilihan raya umum 2013 apabila BN menuduh kerajaan negeri menjual tanah yang diperuntukkan untuk perumahan awam.

Terletak di persimpangan Jalan Zainal Abidin dan Jalan Burmah di George Town, flat 18 tingkat bersaiz 650 kaki persegi, menempatkan 320 isi rumah.

Senarai penjang

Semasa insiden yang serupa di Padang Tembak pada bulan Jun lalu, ahli exco perumahan, perancangan bandar dan desa, Jagdeep Singh Deo (gambar di atas) telah menyatakan bahawa kerajaan Pulau Pinang menyediakan pelbagai unit perumahan awam bagi golongan berpendapatan rendah.

Mendakwa terdapat ratusan dalam senarai menunggu, Jagdeep berkata ia tidak adil untuk membenarkan mereka yang tidak memenuhi kriteria untuk terus tinggal di unit tersebut.

Kerajaan Pulau Pinang, katanya, telah menubuhkan satu jawatankuasa di bawah Jabatan Perumahan Negeri pada tahun 2012 untuk memastikan hanya mereka yang berkelayakan mendapat kelulusan untuk menghuni rumah berkenaan.

[Baca berita penuh]


Lihat Komen
ADS