Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nasrudin: Akaun pada cek RM1.4 juta palsu
Diterbitkan:  Mar 1, 2019 1:03 PM
Dikemaskini: 5:13 AM

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan mendakwa menafikan gambar cek dan nombor akaun yang dikatakan sebagai bayaran RM1.4 juta yang dibuat PAS.

"Kelmarin ditularkan gambar cek dan nombor akaun untuk memfitnah PAS dengan lagu baru RM1.4 juta.

"Ada kawan-kawan semak nombor akaun yang ditular itu dengan cuba transfer (memindahkan) duit RM5 dan RM1, ternyata akaun itu tidak wujud," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Kenyataan itu turut disertai dengan tanda pagar "#tolakakaunpalsu".

Meskipun tidak menyebut secara spesifik, ia dipercayai merujuk cek RM1.4 juta yang didakwa diterima Clare Rewcastle Brown sebagai sebahagian daripada persetujuan untuk menyelesaikan saman Presiden PAS Abdul Hadi Awang di luar mahkamah pada bulan lalu.

Dalam artikel terbaru Sarawak Report hari ini, turut disertakan beberapa gambar salinan dokumen berkaitan, termasuk perjanjian rahsia, sekeping cek Bank Islam dan sepucuk surat kepada Maybank yang mengesahkan wang bernilai RM1.4 juta itu datang daripada Abdul Hadi.

Bagaimanapun, cek yang dikongsi Clare di Sarawak Report itu tidak mendedahkan nombor akaun.

Clare juga menjelaskan bayaran RM1.4 juta itu bukan sebahagian daripada perintah mahkamah kerana hakim tidak mengarahkan presiden PAS itu membayar kos kerana ia sudah dibuat kepada pihak ketiga yang mewakili portal tersebut, iaitu peguam Malaysia, Americk Sidhu.

"Sarawak Report bersetuju dengan syarat Abdul Hadi iaitu kedua-dua pihak merahsiakan bayaran yang terlibat," katanya.

Sementara itu, dalam penafiannya hari ini, Nasrudin berkongsi akaun Bank Islam PAS yang menurutnya akaun sebenar.

"Beginilah, cuba hantar RM5 atau RM10 atau RM100 ke akaun ini," katanya menyertakan perincian akaun PAS yang dimaksudkannya.

 

Lihat Komen
ADS