Malaysiakini
BERITA

Nazri: MCA, MIC tak boleh hidup tanpa Umno

Zikri Kamarulzaman

Diterbitkan
Dikemaskini 4 Mac 2019, 10:22 pagi

Setiausaha Agung BN Nazri Abdul Aziz tertawa besar apabila diberitahu rancangan MCA dan MIC untuk menendang keluar Umno daripada gabungan Barisan Nasional.

"Maka itulah pengakhiran MCA dan MIC. Kekuatan BN terletak pada BN, bukan mereka. Kedua parti itu telah ditolak oleh komuniti mereka sendiri," kata Nazri kepada Malaysiakini.

MCA dan MIC hari ini berkata mereka "mengorak langkah ke hadapan" dan meneroka "perikatan politik baru" berikutan Umno tidak bertindak terhadap kenyataan perkauman oleh Nazri dan pemimpin Umno lain.

Seorang pemimpin kanan yang dekat dengan hal rundingan MCA dan MIC memberitahu Malaysiakini mereka sedang meninjau peluang untuk menendang keluar Umno daripada BN.

Terdahulu, MCA mencadangkan rancangan untuk membubarkan BN.

Tak suka BN, keluar sajalah

Nazri tidak risau dengan perkembangan ini berkata BN tidak boleh dibubarkan jika hanya satu parti sahaja yang bersetuju untuk rancangan itu.

"Jika mereka tidak suka BN, mereka boleh tinggalkan (gabungan ini) sebagaimana yang dilakukan parti-parti di Sarawak. Tidak perlu buat sebarang usul. Keluar sajalah, saya harap mereka melaksanakan apa yang dicakap," katanya lagi.

MP Padang Rengas itu juga berkata beliau "sangat gembira" mengetahui MCA dan MICA mahu mengorak langkah ke hadapan.

Katanya, Umno boleh mencari rakan sekutu bukan Melayu lain bagi menggantikan dua parti itu.

"Kami boleh kerjasama dengan IPF dan Kimma serta kami boleh membuka keanggotaan untuk individu Cina dan India untuk menjadi ahli BN," katanya.

Nazri turut berkata Umno juga sedang meninjau jalinan kerjasama "yang kekal" dengan PAS.

Ketegangan antara MCA dan Umno tercetus selepas MCA menggesa Nazri dipecat daripada setiausaha agung BN. Ini selepas Nazri didakwa menuntut sekolah Cina dan Tamil ditutup.

Nazri menafikan membuat gesaaan itu dan mendakwa media salah petik ucapannya.

Beliau menjelaskan kenyataannya bermaksud sekiranya keistimewaan orang Melayu dipertikai, maka keistimewaan bukan Melayu juga akan dipersoalkan, termasuklah hak sekolah vernakular.

Malaysiakini melaporkan ucapan Nazri yang memberi amaran kepada bukan Melayu supaya tidak mempertikaikan keistimewaan Melayu atau menanggung akibat dipertikaikan keistimewaan mereka.


BERKAITAN: Nazri: AG, CJ, menteri kewangan tak percaya kitab, agama kita


"Saya dah jelaskan, saya tidak pernah buat kenyataan perkauman. Apa lagi yang mereka mahu?

"Saya tidak pernah menyerang sebarang parti, Presiden MIC SA Vigneswaran, para pemimpin MCA Wee Ka Siong, Chew Mei Fun dan Nicole Wong, mereka yang menyerang saya," kata Nazri hari ini.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.