Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nazri: AG, CJ, menteri kewangan tak percaya kitab, agama kita

PRK SEMENYIH | Setiausaha Agung BN, Nazri Aziz menuduh kerajaan Pakatan Harapan lemah dan terpaksa menyerahkan hak-hak Melayu kepada kaum lain.

Pada suatu majlis ceramah di Beranang malam tadi, Nazri berkata ini dapat dilihat dengan pelantikan bukan Melayu sebagai ketua hakim negara, peguam negara dan menteri kewangan.

"Saya bukan rasis, saya orang Malaysia tapi saya nak beritahu, mempertahankan keistimewaan (Melayu) itu adalah merupakan kewajipan setiap PM.

"Tapi hari ini oleh kerana kerajaan kita lemah, banyak benda berlaku yang tidak pernah berlaku semasa BN memerintah, AG, CJ, menteri kewangan.

"Ini bukan racist, ini lah jawatan-jawatan yang strategik yang memerlukan untuk memastikan supaya Islam itu dapat dipertahankan dan tidak dipertikaikan, dan Perlembagaan Persekutuan itu dapat dipertahankan, maka jawatan-jawatan ini mesti dipegang oleh Melayu," katanya kepada sekitar 80 hadirin di Jalan Besar, Beranang.

Nazri berkata kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim merupakan contoh yang jelas bahawa melantik bukan Melayu untuk memegang jawatan yang disebutkannya itu tidak bagus kepada kaum Melayu.

Kes Adib dikorban

"Jawatan AG, semua orang cakap, kes Adib yang telah pun dikorbankan. 

"Kita tanya sampai sekarang mengapa orang yang ditangkap dahulu, kononnya terlibat dalam pemecederaan Adib sekali tidak didakwa apabila Adib meninggal dunia, kerana kecederaan itu telah menjadi pembunuhan.

"Apabila orang lihat AG itu sebangsa dengan orang yang didakwa, jadi jangan salahkan kepada Melayu kalau dia merasakan itu bahawa AG tidak adil.

"Kita mau supaya Adib kematian dia itu tidak disia-siakan.

"Dakwalah, apa masalah? Dakwalah, ini saya difahamkan ditarik, dan diam begitu saja... saya tidak percaya itu orang bukan Melayu kalau pegang jawatan satu tu (AG), dia boleh berlaku adil tapi dia akan melihat kepada kulit untuk mengambil tindakan-tindakan yang tertentu," katanya.

Presiden Argentina orang Islam angkat sumpah Injil

Nazri mendakwa orang Melayu tidak yakin kepada ketiga-tiga pemegang jawatan ini kerana mereka tidak mengangkat sumpah jawatan dengan Al Quran ketika dilantik dahulu.

"Kita nak tanya lah, sebab Agong ni (beragama) Islam, jadi orang nak bersumpah depan dia ni, mestilah bersumpah dengan Al Quran kerana Agong orang Islam.

"Sebagai orang Islam dia percaya kepada orang yang angkat sumpah dengan Al Quran, tapi orang itu pilih untuk tidak angkat sumpah dengan Al Quran, maka dia tidak terikat dengan segala janji-janji untuk jadi AG, CJ kah.

"Ini masalah kita, ini masalah besar, bukan masalah kecil, ini masalah kita, sebab itu jawatan ini kena pegang oleh Melayu.

"Mana boleh, dia tidak percaya kepada agama, kitab kita, dia dibenarkan untuk bersumpah dengan tak kisah lah kemudian buku apa, biar kita tak percaya, saya boleh pegang buku kamus, saya sumpah macam-macam. Boleh.  Sebab saya tau itu buku biasa," katanya lagi.

Beliau juga mendakwa bekas presiden Argentina Carlos Menem, yang mana ibu bapanya dari Syria dipaksa memeluk agama Kristian mazhab Katolik bagi membolehkan beliau mengangkat sumpah jawatan pada 1989.

"Ada satu negara Argentina nama, apabila Carlos Menem menjadi presiden Argentina, dia Islam Syria, dia kena jadi Katolik sebab kena angkat sumpah dengan Injil.

"Jadi Malaysia bukan sebuah saja negara yang amalkannya, Argentina pun mengamal," katanya.

Orang Cina, India pun ada hak istimewa

Sementara itu, Nazri menggesa kaum bukan Melayu untuk tidak mempersoalkan keistimewaan orang Melayu kerana kaum bukan Melayu turut menikmati keistimewaan juga.

"Melayu itu mesti diletakkan keutamaan dalam perjuangan kerana ini lah, kalau sekiranya bangsa ini tidak dilayani dengan baik, maka sudah tentu rusuhan majoriti kaum. (Disebabkan hak-hak) yang tidak dapat yang mereka fikir sepatutnya dapat dia tak dapat, maka berlaku rusuhan, kita nak elak itu, sebab kepentingan orang Melayu mesti diutamakan

"Bukan kita racist, orang bukan Melayu pun mereka memperjuangkan kepentingan mereka... tapi kita kena ingat, orang Cina, India juga ada hak istimewa mereka, hak istimewa dia apa? Sekolah aliran Cina, Tamil.

"Setiap kita ada hak istimewa, dan orang Melayu tak mahu nak mempertikaikan tentang sekolah Cina, Tamil.

"Tapi mengapa mereka nak mempersoalkan keistimewaan orang Melayu seolah Melayu saja dapat keistimewaan, Cina dan India tak ada," dakwanya lagi. 

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS