Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRK RANTAU | PH perlu bersiap sedia untuk mengubah naratif yang dibawa BN dan PAS pada PRK Dewan Undangan Negeri Rantau nanti yang kini dilihat meyakinkan majoriti rakyat, kata penganalisis politik.

Prof Awang Azman Awang Pawi berkata tempoh yang ada sebelum PRK itu diadakan sekarang perlu digunakan sebaik mungkin oleh PH selepas gabungan itu kalah dua kali berturut-turut di Cameron Highlands dan Semenyih.

"PH perlu menunaikan segala janji PRU agar mereka lebih diyakini dan pada masa sama, bersiap sedia menghadapi pengundi Rantau.

"Persepsi yang ditanam oleh BN dan PAS mengenai PH perlu ditangani dengan lebih berkesan," katanya kepada Malaysiakini.

Selain itu tenaga akademik di Universiti Malaya itu juga berpendapat perdana menteri mestu melakukan rombakan kabinet selepas rakyat dilihat tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan.

Katanya antara aspek yang menjejaskan PH di dua PRK lalu ialah kenyataan sesetengah menteri yang dianggap kurang berpengalaman.

Misalnya, kata Awang Azman, idea mengenai kereta terbang yang dianggap kurang realistik.

Kembalikan keyakinan rakyat

Katanya rombakan kabinet juga perlu dilakukan kerana ia sekurang-kurangnya dapat menunjukkan PH berusaha ingin berubah dan mendengar keluhan rakyat.

PRK Rantau diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada Pada 16 November tahun lalu mengisytiharkan kemenangan penyandangnya, Mohamad Hasan, terbatal serta pilihan raya perlu diadakan semula.

Mohamad pada 9 Mei tahun lalu diisytihar sebagai menang tanpa bertanding oleh pegawai pengurus pilihan raya untuk DUN Rantau, Amino Agus Suyub.

Untuk rekod pada 10 Okt 2018 Mahkamah Pilihan Raya Seremban mengarahkan Amino dihukum penjara tiga bulan kerana menghina mahkamah.

Calon PH, Dr S Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon pada 9 Mei dan membawa kepada kemenangan tanpa bertanding Mohamad.

Hakim Azimah Omar mengeluarkan perintah tersebut setelah mendapati Amino bersalah menghantar mesej teks kepada penolong pegawai pengurus SPR, Daing Muhamad Rahimi, untuk cuba mengajarnya menjawab soalan di mahkamah.

"Sebagai seorang RO dan pegawai daerah (Rembau), kamu seorang pegawai kerajaan, seorang kakitangan kerajaan tetapi kamu cuba mengajar saksi cara menjawab soalan.

"Tindakan kamu ini mengganggu prosiding dan ini sangat serius," kata Azimah.

Sementara itu Prof Kartini Aboo Talib dari Universiti Kebangsaan Malaysia turut berpendapat PH perlu bersikap lebih peka tentang isu-isu tempatan dan semasa, serta memilih calon yang sesuai jika mahu menang di Rantau.

Katanya, PH perlu menumpukan strategi untuk mengembalikan keyakinan rakyat berbanding sekadar mengejek pemimpin Umno dan BN.

Pengajaran buat Azmin

Beliau juga berpendapat rombakan kabinet perlu dilakukan pemimpin kerajaan demi mengukuhkan PH yang dilihat kaku dan lesu.

"Kenyataan Mahathir juga jelas menunjukkan beliau memahami kelesuan kabinet yang perlu meyakinkan pengundi untuk beralih daripada Umno yang mentadbir Malaysia selama lebih 60 tahun.

"PH harus lebih peka tentang isu-isu tempatan dan semasa, memilih calon yang sesuai, menghentikan provokasi, selain fenomena 'Bossku' yang mendapat tempat di hati pengundi Melayu," katanya merujuk kepada kempen bekas perdana menteri Najib Razak.

Kartini juga menasihatkan PH supaya berkempen secara berhemah dengan mendekati rakyat di kawasan awam seperti masjid, pasar malam dan pasar tani.

"Lazimnya mengikut budaya orang Melayu, apabila seseorang yang sudah jatuh ditimpa tangga, sebaiknya dia tidak dicerca.

"Ini pengajaran kepada (Timbalan Presiden PKR) Azmin Ali yang berkempen menyentuh Najib dan Rosmah Mansor ketika di Semenyih.

"Perkara ini tidak digemari pengundi Melayu," katanya.

Prof Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak juga menekankan perlunya rombakan kabinet dilakukan namun bukan dalam tempoh terdekat kerana ia boleh disifatkan seperti strategi memancing undi.

"Menteri yang tidak memperlihatkan prestasi yang baik, gagal memperlihatkan kepimpinan meyakinkan, menimbulkan beban kepada PH, tanpa ragu-ragu perdana menteri kena pertimbangkan dan menilai semula kedudukan mereka untuk digantikan dengan tokoh yang lebih baik," katanya.

Bagi Jeniri, PH perlu membaiki kesilapan dan kelemahan mereka sejak 10 bulan lalu selepas mentadbir kerajaan.

Katanya kerusi DUN Semenyih sebelum ini milik PH tetapi dapat dirampas BN berikutan kegagalan PH menangani manifesto dan rakyat hilang keyakinan.

"Rakyat terutamanya pengundi Melayu di Semenyih rasa muak dan kecewa sebab PH dilihat gagal melindungi kepentingan dan hak pemimpin Melayu.

"Malah mereka menganggap PH dikuasai oleh parti lain, khususnya DAP

"Bagi orang Melayu, ini isu sensitif," katanya.

Katanya, serangan terhadap pemimpin pembangkang dan sikap menuding jari terhadap pentadbiran lama juga haru dihentikan.

"Apa yang mereka perlu lakukan sekarang ialah melihatkan kepimpinan yang betul-btul dapat meyakinkan rakyat dengan mengemukakan dasar dan langkah konkrit ke arah meredakan masalah rakyat.

"Bukan lagi bermain dengan naratif dan retorik politik yang sudah basi, termasuk menyerang Najib.

"Itu sudah cukup. Rakyat mahu melihat transformasi dan perubahan seperti yang dijanjikan secepat mungkin. Jangan beri alasan BN memerintah selama 61 tahun," katanya.

Lihat Komen
ADS