Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sepatutnya pihak yang telah dibantu Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Rameli Musa perlulah tampil bertanya khabar beliau apabila bekas aktivis Abim itu berdepan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar.

Mahfuz yang juga bekas pemimpin PAS itu berkata beliau kesal apabila Rameli yang dispekulasikan sebagai individu yang membayar RM1.4 juta kepada editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown bagi pihak Presiden PAS Abdul Hadi Awang tidak dipedulikan apabila ditimpa masalah.

"Sepatutnya bagi saya, ramailah orang bertanya khabar kepada beliau setelah beliau membantu PAS.

"Itulah orang panggil ujian kepada orang yang baik hati - bila seseorang itu menolong seseorang, dia tidak boleh mengharap orang (yang dibantu) berterima kasih kepada dia tapi orang yang ditolong seharusnya berterima kasih," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mahfuz diminta mengulas hantaran Facebook isteri Rameli, Norlella Md Akram yang tular di media sosial selepas suaminya berdepan siasatan SPRM.

Tak pasti duit siapa

Bagaimanapun, Malaysiakini telah dihubungi peguam yang mewakili Norlella yang mengatakan hantaran itu bersifat peribadi dan tidak bermaksud untuk siaran kepada orang ramai.

Mahfuz berkata beliau percaya Rameli yang dikenali dengan sifat pemurahnya itu bertindak sedemikian atas niat baik untuk membantu PAS.

"Apa pun, proses siasatan itu tidak dapat dielakkan. Saya percaya jika benar apa yang dilakukan oleh Rameli, cek itu merupakan cek beliau dan pembayaran itu merupakan pembayaran yang dibuat oleh beliau.

"Saya tak pasti sama ada itu duit beliau atau itu duit pimpinan PAS tapi saya percaya bahawa semua itu dilakukan atas niat menolong PAS yang tersepit dalam keadaan seperti itu," katanya.

Clare sebelum ini mendakwa bayaran RM1.4 juta itu merupakan sebahagian persetujuan bagi penyelesaian luar mahkamah selepas Abdul Hadi menarik semula saman terhadapnya.

Kes saman Abdul Hadi terhadap Clare sebelum ini adalah berhubung laporan Sarawak Report yang mendakwa pemimpin PAS menerima RM90 juta daripada Umno.

Lihat Komen
ADS