Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Samy Vellu dilapor SPRM dakwaan seleweng tanah koperasi

Bekas Ketua Bahagian MIC Sungai Siput M Lokanathan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegaan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini terhadap bekas presiden MIC S Samy Vellu, atas dakwaan penyelewengan berkaitan lot tanah dan bangunan di kawasan parlimen itu.

Lokanathan berkata ia merupakan laporan ketiga yang dibuat terhadap Samy yang juga merupakan anggota parlimen Sungai Siput selama lapan penggal.

"Saya buat laporan ketiga hari ini di hari lahir Samy Vellu selepas laporan sebelumnya tidak mendapat sebarang tindakan daripada SPRM.

"Harap kali ini SPRM membuat siasatan yang telus dan rapi terhadapnya," katanya kepada pemberita di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Untuk rekod, Lokanathan dipecat daripada MIC setelah berselisih secara terbuka dengan Samy yang menjadi presiden ketika itu.


BacaPada hari lahir, Samy Vellu dilapor pada SPRM


Antara dakwaan Lokanathan dalam laporannya adalah pembelian 101 ekar tanah daripada sebuah koperasi di Sungai Siput pada 2005.

"Koperasi ini ada syarat di mana tanah miliknya hanya boleh dijual kepada pemegang saham saja. Tetapi Samy Vellu dipercayai menggunakan 'kuasanya' untuk beli tanah itu atas nama seorang peniaga di bawah harga pasaran.

"Pada 2005 harga seekar adalah RM68,000. Tapi dia beli dengan RM11,000 saja. Lebih teruk, tanah yang dibeli kononnya untuk membina rumah masih tidak membuat sebarang pembangunan," katanya.

Samy Vellu

Selain itu, Lokanathan turut mendakwa Samy menukar nama beberapa ekar tanah dan bangunan di bawah sebuah lagi koperasi yang diterajuinya sendiri kepada peniaga tersebut.

"Kenapa tanah-tanah ini yang diberi kerajaan negeri kepada Samy Vellu agar ia memberi manfaat kepada kaum India ditukar hak milik (kepada peniaga)?

"Saya minta SPRM siasat agar tanah ini dapat diselamatkan daripada orang ketiga yang tiada kepentingan," katanya.

Sementara itu, bekas timbalan presiden PKR S Jenapala yang turut hadir berkata mereka akan membuat laporan polis terhadap SPRM jika suruhanjaya itu masih tidak menyiasatnya.

"Ini bukan perkara baru, sudah lebih 20 tahun. Banyak laporan dibuat tapi tiada tindakan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS