Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bekas ketua bahagian MIC Sungai Siput, M Lokanathan mengesahkan akan membuat laporan pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas presiden partinya, S Samy Vellu pada 8 Mac ini.

Lokanathan berkata, laporan yang akan dibuatnya Jumaat ini merupakan yang ketiga dan kali ini ia dibuat bertepatan dengan hari kelahiran bekas menteri kerja raya itu.

"Selepas dua kali saya membuat laporan di SPRM dan tiada tindakan daripada pihak SPRM, kali ini saya memilih 8 Mac ini membuat laporan kali ketiga.

"Ironinya, 8 Mac ini merupakan hari jadi yang ke-83 Samy Vellu. Jadi, ini adalah 'hadiah' hari jadi kepadanya," katanya kepada Malaysiakini.

Lokanathan berkata laporan itu berkenaan isu-isu di kawasan parlimen Sungai Siput, kawasan yang pernah diwakili Samy Vellu.

Beliau tidak memperincikan maklumat aduan yang akan dibuat, namun berkata ia mempunyai kaitan dengan tanah seluas 101 ekar yang dibeli di bawah harga pasaran, serta pembinaan sebuah dewan konvensyen dan satu lagi tanah milik KPJ (Koperasi Pekerja Jaya Bhd).

"Saya tidak mendedahkan maklumatnya, tapi apa yang saya boleh katakan adalah kesemua tanah dan bangunan yang saya beritahu sekarang berada di atas nama seorang ahli peniagaan Cina yang tiada kena-mengena dengan MIC dan juga KPJ," katanya.

Untuk rekod, Lokanathan yang satu ketika dulu merupakan penyokong tegar Samy Vellu membuat laporan pertama dibuat pada 10 September 2016 diikuti, dan sekali lagi pada 28 Februari 2017.

Malaysiakini sedang menghubungi pihak Samy Vellu bagi mendapatkan ulasan.

Lihat Komen
ADS