Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Najib lama hidup dalam 'kayangan' - SU akhbar Mat Sabu
Diterbitkan:  Mar 11, 2019 4:10 PM
Dikemaskini: 9:15 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak didakwa tidak memahami mengenai pengumuman Boustead kepada Bursa Malaysia berhubung isu penjualan Hotel Royale Chulan walaupun penjelasan demi penjelasan telah diberikan.

Menurut Amin Shah Iskandar, setiausaha akhbar kepada Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hal ini disebabkan Najib terlalu lama hidup dalam 'kayangan'.

"Bekas perdana menteri dan menteri kewangan Najib Razak masih lagi bising mengenai isu penjualan Hotel Royal Chulan Bukit Bintang milik syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings walaupun penjelasan demi penjelasan sudah diberikan.

"Najib yang sedang berdepan dengan pelbagai tuduhan rasuah semasa menjadi perdana menteri dan menteri kewangan itu berhujah "deposit" sudah pun dibayar oleh syarikat milik Singapura itu.

Amin Shah Iskandar

"Mungkin disebabkan terlalu lama hidup "dalam kayangan", Najib tidak mengetahui bahawa membayar deposit bukan bermakna sesuatu urusan jual beli itu selesai.

"Wang deposit masih boleh dikembalikan sekiranya sesuatu urusniaga itu tidak jadi atau terbatal," kata Amin dalam suatu kenyataan hari ini.

Justeru itu, Amin berharap Najib yang juga bekas menteri kewangan yang berhadapan 42 pertuduhan di mahkamah dapat menginsafi kesalahan yang telah beliau lakukan.

"Kami bersimpati dengan nasib dan masa depan Najib yang berdepan dengan 42 pertuduhan rasuah dan salahguna kuasa sepanjang menjadi perdana menteri dan menteri kewangan dan diharapkan beliau akan menginsafi segala kesalahan yang dilakukan," jelasnya lagi.

Sudah meterai surat setuju terima

Najib mendakwa, Boustead sudah membuat pengumuman rasmi kepada Bursa Malaysia dan mengesahkan ia sudah menandatangani surat setuju terima daripada syarikat Singapura dengan wang deposit RM3.94 juta atau dua peratus sudah diterima syarikat itu.

Dalam kenyataannya, Najib berkata, beliau tidak mahu menuduh menteri pertahanan  menipu namun jika pemimpin itu bukan penipu maka Boustead sudah melakukan kesalahan undang-undang kerana membuat pengumuman palsu kepada Bursa Malaysia.

“Tetapi, jika Mat Sabu (Mohamad) bukan penipu maka Boustead sudah melakukan kesalahan undang-undang kerana telah membuat pengumuman palsu kepada Bursa Malaysia.

“Hukuman ini di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2009 adalah penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM3 juta,” tulis Najib dalam hantaran di Facebooknya.

Najib mendakwa Hotel Royale Chulan Bukit Bintang milik syarikat LTAT, Boustead Holdings telah dijual kepada syarikat Singapura dengan harga yang agak rendah, hanya RM197 juta walaupun hotel yang bertaraf empat bintang serta mempunyai 400 bilik itu berada di atas tanah hakmilik kekal dan terletak di kawasan tiga-segi emas Kuala Lumpur.

“Dia kata penjualan itu belum muktamad dan masih dalam proses memilih pembeli dan keutamaan akan diberi kepada pembeli tempatan.

“Dia juga kata tanah dan lokasi hotel itu strategik dan akan masih mencari harga jualan yang lebih tinggi. Maksudnya, masih mahu juallah,” kata Najib.

Sementara itu kata Amin, pengumuman kepada Bursa Saham Singapura adalah perkara biasa bagi sesebuah syarikat untuk memaklumkan kepada pemegang saham tentang aktiviti mereka.

"Masih ada beberapa syarat lain yang kedua belah pihak perlu patuhi seperti kelulusan daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) sebelum ia boleh dimuktamadkan," katanya lagi.

Terdahulu pada 27 Februari lalu Pejabat Menteri Pertahanan menjelaskan kerajaan belum ada keputusan muktamad dibuat berhubung penjualan aset milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Bhd (BHB) iaitu Hotel Royale Chulan Bukit Bintang, di Kuala Lumpur.

“Oleh itu, tawaran yang terbaik daripada pembeli yang berminat sedang dalam pertimbangan dan keutamaan akan diberikan kepada syarikat tempatan,” kata kenyataan itu.

Lihat Komen
ADS