Terjemahan Sebuah lagi akhbar tempatan, Guangming Daily juga didapati telah menyiarkan gambar yang menunjukkan karikatur yang menghina Nabi Muhammad, yang telah mengakibatkan akhbar Sarawak Tribune digantung.

Dipercayai Kementerian Keselamatan Dalam Negeri telah memaklumkan secara lisan kepada Guangming yang kementerian berkenaan merancang mengambil tindakan terhadap akhbar berbahasa Cina itu. Surat tunjuk sebab dijangka dihantar dalam masa terdekat ini.

Malaysiakini difahamkan, akhbar Guangming edisi 3 Februari lalu bagi wilayah utara, telah menyiarkan gambar yang menunjukkan seorang pembaca sedang membaca akhbar yang menyiarkan karikatur tersebut yang telah mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Bagaimanapun, sebaik sahaja menyedari kesilapan tersebut, Guangming terus menarik balik sebahagian besar nashkah edarannya. Dipercayai hanya sebilangan kecil nashkah akhbar tersebut sempat sampai ke tangan orang ramai.

Sarawak Tribune, akhbar tertua di Sarawak, telah digantung permit penerbitannya selepas menyiarkan gambar karikatur itu bersama laporan bantahan terhadapnya oleh umat Islam di seluruh dunia.

Kemarahan umat Islam itu dicetuskan oleh tindakan akhbar Denmark menyiarkan 12 karikatur yang mempersendakan Nabi Muhammad September lalu.

Guangming mempunyai dua edisi wilayah utara dan tengah. Edisi utara memuatkan berita bagi kawasan utara Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Operasi bagi edisi tersebut berpejabat di Pulau Pinang.

Manakala operasi bagi edisi utaranya pula yang merangkumi kawasan Lembah Kelang dan wilayah Selatan, berpangkalan di Kuala Lumpur.

Milik jutawan balak

Menurut Biro Pengedaran Beraudit (ABC), pengedaran edisi petang Guangming adalah kira-kira 29,000 nashkah. Ia merupakan akhbar petang berbahasa Cina yang kedua popular selepas China Press, yang menjual 89,000 nashkah sehari.

Guangming adalah sebahagian daripada kumpulan Sinchew Media Corporation, yang menerbitkan akhbar popular bahasa Cina, Sin Chew Daily. Kumpulan tersebut dikuasai oleh jutawan balak Sarawak, Tiong Hiew King.

Sin Chew merupakan akhbar berbahasa Cina terbesar yang menguasai 40 peratus pasaran manakala Guangming menduduk tempat ketiga dengan 14 peratus penguasaan.

Tempat kedua diduduki oleh China Press , yang memecat dua editor kanannya bulan lalu kerana menyiarkan laposan silap berhubung skandal ketuk ketampi wanita bogel dalam tahanan polis, dan hampir digantung penerbitannya oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri. Berita asal