Paling Popular
Terkini

ULASAN | Untuk menjadi sebuah kerajaan yang kuat dan berwibawa, amat penting bagi parti pemerintah untuk menjadi organisasi stabil, berdisiplin dan bermatlamat.

Berdasarkan objektif ini, saya ingin membincangkan beberapa kesukaran dan cabaran yang dihadapi DAP - sejak sebagai parti 'pembangkang tetap’ hingga menjadi rakan kongsi dalam kerajaan gabungan parti.

Sehingga tsunami politik 2008, DAP hanya sebuah parti kecil dengan sekumpulan pemimpin dan anggota berdedikasi yang tidak pernah meletakkan harapan menjadi pemerintah di mana-mana peringkat.

Ironinya, akibat status DAP - pada masa itu - sebagai 'pembangkang tetap', parti berkenaan melahirkan personaliti yang dihormati dalam negara seperti Lim Kit Siang dan mendiang Karpal Singh.

Namun pada masa sama DAP kekurangan pelapis yang berbakat.

Kini, DAP sebahagian daripada kerajaan gabungan di peringkat persekutuan dan beberapa kerajaan negeri. Maka bakat kepimpinan besar kemungkinan dapat dikembangkan.

Cabaran sekarang adalah untuk menguruskan sebuah parti besar yang mempunyai anggota daripada pelbagai latar belakang. Namun bukan semuanya pernah melalui jalan berliku-liku dan kesukaran yang dihadapi generasi lama dalam membentuk parti.

Dari penyanyi solo ke orkestra

Sewaktu menjadi 'pembangkang tetap' DAP tidak memerlukan penyelarasan dasar. DAP hebat mengkritik dan mendedahkan salah guna kuasa kerajaan BN. Parti itu ibarat penyanyi solo yang hebat.

Tetapi menjadi pihak berkuasa bermaksud, pemimpin DAP perlu menjadi sebuah orkestra yang harmoni, mempunyai mesej dasar yang jelas dan konsisten.

Rakyat dan rakan dalam PH meletakkan harapan agar parti berjalan seiring dengan dasar kerajaan.

Era pemerintahan BN tidak memberi ruang kepada pembangkang untuk berada dalam pasukan pentadbiran. Maka pembangkang hanya menggunakan platform media untuk bersuara.

Saya sentiasa menyarankan agar lebih banyak jawatankuasa parlimen ditubuhkan untuk mencipta persekitaran dan ekosistem yang membolehkan anggota parlimen kerajaan dan pembangkang membicangkan isu-isu pentadbiran secara bersama.

Kini, pemimpin DAP di setiap peringkat perlu melakukan lebih daripada sekadar menekankan masalah kepada media.

Kini, mereka perlu menjadi penyelesai masalah (dan diharapkan dapat menjadi inspirasi masa hadapan) di kampung-kampung, bandar, negeri dan peringkat nasional.

20 hari dan 20 tahun

Sebagai kerajaan, kita bukan sahaja menyelesaikan masalah 20 hari akan datang, tetapi turut memikirkan perspektif untuk 20 tahun ke depan, kerana setiap keputusan dibuat hari ini mempunyai kesan jangka panjang.

Anggota politik DAP dan PH perlu belajar berundingan dengan rakan gabungan, penjawat awam, masyarakat sivil dan peniaga dalam setiap keputusan.

Kita perlu membimbing rakyat memahami kesan sesuatu dasar dan menerima penyelesaian sukar yang tidak semestinya sempurna, supaya perubahan sebenar yang lebih baik berlaku kepada semua pihak dan diterima oleh kebanyakan rakyat.

Seperti rakan-rakan dalam gabungan PH, DAP tidak mampu untuk memerintah sendiri.

DAP mengharapkan rakan kongsi dalam PH mempunyai semangat gabungan yang sebenar. Maka pemimpin DAP perlu juga memastikan gabungan politik PH berfungsi dengan efektif dan dapat membuat keputusan berdasarkan kepentingan PH, bukannya untuk kepentingan DAP sahaja.

Kini, cabarannya adalah untuk mengembangkan semangat tersebut di setiap peringkat dan membentuk kerjasama, saling menghormati antara satu dan yang lain, serta memikirkan kepentingan PH,

Kini ia bukan hanya berdasarkan parti masing-masing, kerana cara sebegitu akan melemahkan kerjasama.

Umno dan PAS menggunakan DAP sebagai ‘pihak jahat’ (bogeyman) untuk mencalar kewibawaan pemimpin Melayu PH supaya orang Melayu menolak gabungan ini.

Bukan parti berdasarkan kaum

Dukacita sekali apabila beberapa rakan DAP dalam PH mahukan DAP fokus kepada orang bukan Melayu sahaja.

Lebih malang lagi apabila beberapa pihak dalam DAP masih hanya mahu berfikir dalam kerangka kaum dan berharap partinya menjadi juara untuk orang bukan Melayu.

PH tidak boleh menjadi lebih Melayu daripada Umno, lebih Islam daripada PAS, lebih Cina daripada MCA, dan lebih India daripada MIC.

Kerangka kaum tidak akan membawa PH ke arah perjuangan yang sebenar.

Dengan menyedari masyarakat Malaysia masih berpecah, DAP dan PH perlu mencari naratif dan pandangan lebih baik melangkaui perpecahan sedia ada, dan memulihkan keadaan negara dengan tidak memberi laluan kepada pandangan ekstremisme menguasai wacana awam.

Terdapat dua kepercayaan popular dalam pemikiran ahli politik Malaysia.

Pertama, Melayu berada di luar bandar, dan kedua, Melayu dan bukan Melayu mempunyai budaya berbeza, justeru tidak mempunyai kepentingan bersama.

Statistik terkini menunjukkan 78 peratus rakyat Malaysia dan 70 peratus Melayu tinggal di bandar, walaupun ramai orang Melayu pulang ke kampung halaman untuk mengundi.

Melayu tidak lagi semuanya berada di kawasan luar bandar.

Banyak kaji selidik menunjukkan hasil yang sama: semua masyarakat prihatin tentang pekerjaan , gaji, kos sara hidup, dan peluang mobiliti sosial, pendidikan untuk anak-anak, maruah dan jaringan keselamatan.

Kepentingan bersama ini telah menyatukan kita semua.

Banyak lagi perkara yang boleh menyatukan berbanding memecahkan kita. DAP perlu menyuarakan kepentingan bersama dan menyampaikannya kepada seluruh rakyat Malaysia sebagai sebahagian daripada kerajaan gabungan PH yang bekerja seiring dengan rakan-rakan dalam gabungan.

Selamat ulang tahun ke-53 DAP.


LIEW CHIN TONG ialah anggota Dewan Negara merangkap timbalan menteri pertahanan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS