Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Raja Bahrin dedah sikap hiprokit ahli politik Malaysia

ULASAN | Pembunuhan kejam beramai-ramai 50 orang Islam di Masjid di Christchurch, New Zealand menggemparkan seluruh dunia. Tidak dapat dinafikan lagi pembunuhan yang dilakukan ketika orang sedang beribadat itu adalah kekejaman di luar dugaan.

Kita sedih bercampur marah, tetapi apakah pengajaran serta iktibar yang harus diambil daripada peristiwa tersebut agar ia tidak berlaku di Malaysia?

Mungkinkah insiden sebegitu boleh berlaku di Malaysia? Adakah apa-apa petanda persamaan antara situasi di New Zealand dan di negara kita?

Penembak yang telah membunuh 50 orang di dua Masjid di New Zealand itu warga Australia. Daripada pengalaman dan pengetahuan saya semasa di Australia, rakyat negara itu mudah mesra dan berminda terbuka. Tertuduh, Brenton Tarrant, adalah rakyat biasa tanpa rekod jenayah.

Apakah yang telah mendorongnya bertindak begitu ganas dan membunuh 50 orang tanpa perasaan perikemanusiaan?

Apa yang jelas adalah pengunaan media sosial oleh pembunuh untuk merakam dan menyiarkan tindakannya menembak mangsa mangsa di dalam Masjid berkesan. Mengejutkan apabila ramai yang berkongsi rakaman itu dengan menyokong pembunuhan tersebut.

Apa yang lebih menghairankan kita adalah betapa sukar dan lambat untuk pihak Facebook memadamkan rakaman itu.

Apa-apa pun, peranan media sosial dalam perancangan dan perlaksanaan pembunuhan ganas itu adalah unsur utama yang mempengaruhi tindakan dan juga meluaskan pengaruhnya ke seluruh dunia.

Bagaimana pula senario tersebut jika dilihat dalam konteks masalah perkauman dan keagamaan di Malaysia mutakhir ini?

Keadaan di Malaysia

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, isu tuduhan halal darah, khafir harbi, dan ungkapan "patut di tembak" dilafazkan dan disebarkan secara meluas di media sosial.

Selain orang biasa, ada juga kalangan agamawan dan tokoh politik yang membuat kenyataan seumpama itu. Tindakan itu boleh mempengaruhi pandangan rakyat dan mengancam keharmonian agama dan kaum di Malaysia.

Malaysia bernasib baik kerana sehingga kini tiada keadaan tidak diingini berlaku.

Perbuatan mengeluarkan kenyataan seperti itu oleh mereka yang berpengaruh dalam masyarakat adalah tindakan sangat tidak bertanggungjawab. Langkah tegas patut diambil bagi menghalang perkara itu.

Gelaran pendatang yang disuarakan sesetengah pihak kepada sebahagian rakyat Malaysia sama seperti gelaran 'invaders' atau penceroboh yang digunakan pengganas yang menembak 50 orang Islam di New Zealand.

Penggunaan media sosial untuk membakar api kebencian terhadap kaum dan agama lain juga ada persamaan dengan taktik yang digunakannya.

Tanggapan 'ancaman' oleh kaum dan agama tertentu boleh menimbulkan kemarahan dan akhirnya membakar 'kebencian'. Ia taktik sama digunakan di Malaysia dan apa yang menyebabkan pembunuhan di New Zealand itu.

'Kemarahan' akhirnya mencetuskan keganasan di negara itu.

Ironinya ugutan perkauman dan keagamaan itu dikenakan ke atas orang Islam yang merupakan golongan minoriti di New Zealand.

Malaysia sedang menyemai

Ada ahli politik pembangkang Malaysia begitu marah dengan perkara itu. Tetapi pada masa sama mereka beterusan mengecam dan membuat tuduhan perkauman dan agama secara melulu ke atas kaum dan agama minoriti di sini.

Inilah senario bahaya di Malaysia hari ini. Tindakan menakutkan rakyat dengan kaum dan agama untuk menimbulkan kemarahan atas tujuan mendapat kuasa adalah keadaan jijik yang kita hadapi hari ini.

Jika serangan perkauman dan agama di media sosial tidak dibendung, kita hanya menunggu masa tragedi berlaku di negara ini.

Kenyataan 'halal darah', 'kafir harbi', 'pendatang' telah lama kedengaran dan disebar di media sosial termasuk oleh mereka yang berpengaruh di kalangan masyarakat. Ia menyuburkan suasana toksik yang akhirnya boleh mencetuskan pertembungan antara kaum dan agama di Malaysia.

Semalam usul tergempar Parlimen sebulat suara mengecam pembunuhan kejam di New Zealand itu yang berlaku tanpa amaran dan petanda awal.

Janganlah kita hanya mengecam pihak lain yang ekstrem dalam isu kaum dan agama, jika kita sendiri di sini turut bersalah menyemai perkara sama.

Jika satu hari nanti peristiwa sama berlaku di Malaysia, bolehkah Parlimen menyatakan bahawa ia berlakut "tanpa amaran dan petanda awal"?


RAJA BAHRIN SHAH ialah anggota Dewan Negara, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta pengerusi PH Terenganu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS