Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
UM: Ahli politik perlu tunjuk teladan baik pada pelajar
Diterbitkan:  Mar 23, 2019 5:46 PM
Dikemaskini: 9:46 AM

Universiti Malaya (UM) memandang serius insiden pelajarnya diserang semalam ketika berhimpun berhampiran acara program santai Najib Razak di Restoran Amjal di Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan media hari ini, UM mengakui peranan mahasiswa membangunkan negara melalui penyertaan aktif dalam aktiviti politik kepartian.

Justeru, UM mengingatkan agar ahli politik dan aktivis memberi teladan yang baik.

"Dalam era Malaysia baru, UM mengakui peranan mahasiswa membangunkan negara melalui penglibatan dan penyertaan aktif dalam aktiviti politik kepartian.

"Perkembangan ini menuntut teladan yang baik dari ahli dan aktivis politik bagi membentuk aktivisme mahasiswa menjadi lebih sihat agar budaya politik matang dapat diwujudkan," kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, meskipun menyokong kebebasan pelajar menyuarakan pandangan, UM menegaskan bahawa pihak universiti tidak menyokong tindakan provokasi.

“UM tidak menyokong mana-mana tindakan provokasi lisan mahupun visual sama ada dilakukan oleh pelajar mahupun kumpulan tertentu memandangkan masyarakat Malaysia menuju ke arah masyarakat madani yang penuh dengan kesantunan dan kesusilaan,” kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan media itu turut memetik Naib Canselor UM, Abdul Rahim Hashim yang berkata bahawa kejadian berkenaan boleh dielakkan sekiranya semua pihak mengelakkan kata-kata dan tindakan provokatif.

"Diharap mereka yang terlibat dalam insiden ini sama ada pelajar mahupun penyokong kumpulan tertentu lebih matang dalam bertindak pada masa hadapan tanpa menggunakan kekerasan," katanya.

Dalam kejadian semalam, berlaku kekecohan antara sekumpulan pelajar Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) dengan beberapa penyokong Najib Razak ketika program santai bekas perdana menteri itu di Restoran Amjal sedang berlangusng.

Pelajar-pelajar tersebut berdiri di seberang jalan berhampiran tempat program dan memegang plakad yang antara lain tertera perkataan "Najib Tak Malu" dan "Pulangkan Duit Rakyat", selain karikatur menyindir Najib berwajah badut.

Susulan itu, penyokong Najib menghampiri mereka dan mengoyakkan plakad yang dipegang pelajar dan seterusnya berlaku pergelutan.

Dalam kekecohan itu, Presiden Umany Wong Kan Ye dilihat dicekik dari belakang.

Masing-masing pihak penganjur program dan kumpulan pelajar sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS