Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images

Program bekas perdana menteri Najib Razak hari ini menyaksikan insiden pergelutan antara penyokongnya dengan pelajar Universiti Malaya (UM).

Kejadian itu berlaku ketika Najib sedang berucap dalam program santai di Restoran Amjal yang terletak di hadapan UM.

Sekumpulan enam hingga lapan pelajar sebelum itu berkumpul di seberang jalan berhampiran tempat program dan memegang plakad yang antara lain tertera perkataan "Najib Tak Malu" dan "Pulangkan Duit Rakyat", selain karikatur badut yang menyerupai Najib.

Susulan itu, penyokong Najib menghampiri mereka dan mengoyakkan plakad yang dipegang pelajar dan seterusnya berlaku pergelutan.

Salah seorang pelajar turut dilihat dicekik dari belakang sebelum dikerumuni individu lain.

Dalam klip rakaman video pemberita, turut kelihatan mengoyakkan plakad adalah Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam.

"Kita tak peduli, tapi bila dia guna gambar Najib, itu gambar bos kita. Hak kitalah kita nak ambil gambar tu, nak koyak kan ke, kan?" kata Lokman dalam klip video itu.

Malaysiakini difahamkan pelajar yang dicekik merupakan Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany), Wong Yan Ke.

Pergelutan dileraikan dengan kumpulan pelajar berkenaan berundur namun penyokong Najib masih terus mengekor mereka.

Beberapa ketika kemudian, polis tiba dan dilihat membawa kumpulan pelajar meninggalkan kawasan itu dengan kenderaan polis.

Malaysiakini berjaya menghubungi Wong dan dimaklumkan bahawa dia dan rakan-rakannya dibawa ke Balai Polis Pantai.

"Kami dibawa ke balai polis kerana polis kata mahu melindungi kami, bukan untuk siasat," katanya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan pengurusan Masjid Ar-Rahman, UM membuat laporan polis berhubung program melibatkan Najib yang dikatakan akan diadakan di masjid itu hari ini, atas alasan bimbang perkara tidak diingini berlaku.

Najib melalui kenyataan di Facebook bagaimanapun menafikan beliau mempunyai sebarang program di masjid itu.

Masjid Ar-Rahman terletak kira-kira 400 meter dari Restoran Amjal.

Untuk rekod, Restoran Amjal yang terletak di Jalan Pantai Baharu, sinonim dengan program pembangkang sejak sebelum pertukaran kerajaan pusat.


 


Lihat Komen
ADS