Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Exco Kedah: Tugu askar Jepun disebut 'wira' bukan silap saya

Kerajaan negeri tidak berhasrat menjadikan tugu tiga askar Jepun di Alor Setar sebagai memorial mengenang "wira."

Bercakap kepada Malaysiakini, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata walaupun beliau dijemput menghadiri majlis itu, namun tidak bermaksud kerajaan negeri bersetuju dengan perkataan yang digunakan untuk menggambarkan askar berkenaan pada tugu tersebut.

Menjelaskan lanjut, katanya kerajaan negeri tidak membelanjakan wang untuk membina tugu itu.

“Kerajaan negeri tak keluar satu sen pun. Semua dibayar oleh pihak Konsul Jepun. Saya hanya dijemput untuk merasmikan majlis.

“Tugu tu sudah lama, cuma dicantikkan," katanya.

Mohd Asmirul mengulas kritikan tular di media sosial berhubung bahan promosi bagi majlis perasmian memorial Jambatan Sultan Abdul Halim yang dipulihkan pada Khamis lalu. 

Pengkritik berhujah penjajah Jepun tidak patut diagung-agungkan sebagai wira.

Majlis tersebut anjuran Pejabat Konsulat Jepun dari Pulau Pinang dan Persatuan Sejarah Malaysia (Cawangan Kedah) serta Muzium Negeri Kedah.

Beliau berkata penggunaan kata “wira Jepun” hanya satu kesilapan teknikal oleh pihak Persatuan Sejarah Malaysia (Cawangan Kedah) dalam bahan promosi majlis itu.

"Kalau nak kata wira Jepun, sebenarnya hanya kesilapan teknikal, kita takkan kata askar Jepun sebagai wira,” jelasnya.

Pejabat Konsulat Jeneral Jepun di pejabat Pulau Pinang telah memulihkan tugu peringatan setinggi 1.8 meter di bahagian utara jambatan Sultan Abdul Halim baru-baru ini.

Menurut batu tanda tiga bahasa bersebelahan dengan tapak tersebut, tugu peringatan ini bagi mengenang tindakan Komandan Platun Leftenan Hajima Asahi dan dua askar Jepun lain.

Ketiga-tiga mereka terkorban ketika cuba untuk mendapatkan apa yang dikenali pada 13 Disember 1941 sebagai jambatan Alor Setar ketika peringkat awal penaklukan kuasa penjajah Jepun di Tanah Melayu dan Borneo.

Mengakui tanda tiga bahasa itu merujuk askar Jepun itu sebagai "tiga wira" Mohd Asmirul berkata hal ini akan diperbetulkan.

“Saya akan minta kontraktor perbetulkan. Kalau tulis askar Jepun tiada masalah, tapi mereka tulis wira. 

"Saya akan minta untuk perbetulkan dengan segera,” katanya.

Mohd Asmirul berkata beliau ada meminta perkataan "antiperang, tak mahu perang" bagi mempromosi nilai keharmonian dan keamanan dimasukkan pada tugu itu tetapi percaya permintaannya telah dikesampingkan.

"Saya ada bagi arahan untuk tambah ayat itu, tapi mungkin sebab kadang kala permintaan tidak sampai ke kontraktor sana, maka saya akan peringatkan lagi,” katanya yang menjelaskan tugu peringatan itu bagi menarik minat pelancong.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS