Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Seludup rokok, alkohol: SPRM 'ketuk pintu' kastam

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan ke atas Jabatan Kastam Diraja Malaysia susulan pembongkaran penyeludupan rokok dan minuman keras yang didakwa turut melibatkan pegawai tertinggi jabatan tersebut.

Menurut sumber SPRM yang bercakap kepada Malaysiakini, SPRM mengarahkan kastam menyerahkan beberapa maklumat berhubung dakwaan penyeludupan berkenaan.

"SPRM pada Jumaat lalu, meminta jabatan kastam supaya menyerahkan senarai nama syarikat yang mempunyai lesen import sejak tahun 2017.

"SPRM akan teliti asal-usul syarikat-syarikat ini sebelum memulakan siasatan lanjutan," kata sumber tersebut kepada Malaysiakini.

Tambah sumber, SPRM juga akan menyiasat permit lesen import syarikat-syarikat berkenaan.

"SPRM memang pandang serius dengan kes ini. Kami tidak teragak-agak mengambil tindakan," katanya lagi.

Jumaat lalu, Malaysiakini melaporkan modus operandi baru penyeludupan rokok dan minuman keras yang disyaki menggunakan lesen import dengan bantuan kastam.

Modus operandi berkenaan dikatakan diamalkan sejak tahun dua tahun yang lalu, selepas Perintah Larangan Import 1988 dipinda pada tahun 2017.

Perintah kastam ini mensyaratkan barangan seperti rokok dan minuman keras tertakluk kepada lesen import semasa pengimportan ke dalam negara atau semasa persinggahan barangan berkenaan.

Pihak kastam bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan.

Kastam alu-alukan siasatan SPRM

Menurut Pemangku Ketua Pengarah Kastam Paddy Abd Halim, tuduhan memberi lesen secara membuta tuli tidak timbul.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan-tuduhan ini. Ia cuma tohmahan sahaja. Tuduhan memberi lesen secara membuta-tuli tidak timbul.

"Kami (kastam) mempunyai panel bagi meluluskan permohonan lesen import yang baru. Kami akan meneliti setiap dokumen dan latar belakang syarikat yang membuat permohonan," katanya.

Bagaimanapun, dihubungi sekali lagi semalam, Paddy menjelaskan bahawa beliau hanya menyangkal tuduhan yang menyatakan bahawa ahli panel pemberian lesen import bersekongkol dan membuta tuli meluluskan lesen atau menerima sogokan rasuah.

Beliau turut menyatakan bahawa Unit Siasatan Dalaman kastam sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti jika berlaku sebarang salahlaku atau rasuah terhadap mana-mana sindiket atau pegawai kastam sendiri.

"Saya hanya menyangkal tuduhan yang menyatakan bahawa ahli panel pemberian lesen import bersekongkol dan membuta tuli meluluskan lesen atau menerima sogokan rasuah. Namun, kastam juga tidak akan berkompromi dengan isu integriti melibatkan pegawai-pegawai kastam," katanya.

Untuk rekod, Paddy merupakan pengerusi kepada panel yang meluluskan permit lesen import.

Mengulas berkenaan kehadiran SPRM, Paddy berkata beliau tidak dimaklumkan berhubung perkara itu.

"Saya kini (semalam) berada di Langkawi. Tiada siapa maklum saya mengenai SPRM.

"Tetapi ini bukan isu besar (kehadiran SPRM). Kami mengalu-alukan sekiranya SPRM bertindak menyiasat dakwaan ini," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS