Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Timb menteri: Henti guna kanak-kanak untuk kutip dana

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh menggesa mana-mana pihak tidak boleh menggunakan kanak-kanak dalam kegiatan kutipan dana, terutama di tempat awam.

Katanya, mereka yang menjalankan kegiatan itu boleh diambil tindakan menerusi Seksyen 32 Akta Kanak-kanak 2001 yang melarang kanak-kanak digunakan untuk "mengemis", walaupun melalui mengadakan persembahan di tempat awam atau penjajaan.

Selain sindiket dan NGO tidak berdaftar, Yeoh berkata sekolah dan rumah ibadat juga dilarang berbuat demikian.

"Kita minta orang awam tidak sokong mana-mana organisasi yang menggunakan kanak-kanak untuk kutip derma, kita tak mahu kanak-kanak dipergunakan. Kalau nak beri duit kepada NGO, periksa dulu dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat sama ada ia berdaftar atau tidak.

"Kalau (sekolah) nak menjalankan aktiviti kutip dana ini, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kena bertanggungjawab untuk adakan satu majlis supaya semua boleh pantau duit itu. Kalau melalui derma macam ini, kita tak boleh pantau," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.


BacaMufti Perlis: Harap kali ini betul-betul ditutup


Dua minggu lalu, kerajaan Kedah mengarahkan sebuah pusat tahfiz di Sungai Petani ditutup serta-merta selepas didapati beroperasi secara haram dan mengerahkan pelajarnya untuk mengutip derma dan menjual produk.

Exco Kedah Ismail Salleh dilaporkan berkata, pengusaha pusat itu sering menukar premis dan mendaftar nama baru selepas dikenakan tindakan, menyebabkan kegiatan mereka sebelum ini sukar dibanteras.

Sejumlah 11 anak yatim yang belajar di situ akan diserahkan kepada JKM manakala baki 109 pelajar akan kembali kepada ibu bapa masing-masing.

Hannah turut menyentuh kes itu dengan berkata semua pihak berhati-hati dengan pihak yang mempergunakan agama.

"Kes di Kedah kita sudah tutup... Tak kisahlah rumah ibadat agama mana pun, jangan guna kanak-kanak untuk mengemis. Kita mahu hentikan sindiket (yang mempergunakan) kanak-kanak," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS