Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim membidas keengganan kerajaan untuk mendedahkan laporan akhir Majlis Penasihat Kerajaan (CEP).
Katanya, kerajaan mesti telus dalam membendung rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
"Rahsia sepatutnya terhad kepada perkara-perkara keselamatan yang sebenar. Jika pendapat enam orang terkemuka mengenai urusan pentadbiran dan ekonomi adalah 'rahsia' maka kita tidak mempunyai harapan," ciapnya di Twitter.
Menurutnya, Daim Zainuddin dan anggota CEP lain bekerja keras untuk menyediakan laporan itu.
"Kita perlu membaca laporan itu dan berbincang. Tetapi kerajaan Pakatan Harapan mengklasifikasikannya sebagai rahsia rasmi. Kerajaan ini gila," katanya.
Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin. memberitahu Dewan Rakyat bahawa laporan itu akan terus dilindungi mengikut OSA.
Walau bagaimanapun, beliau berkata tidak seperti kerajaan sebelumnya, pentadbiran semasa tidak akan menggunakan OSA untuk menyembunyikan rasuah.
"Hingga hari ini, laporan akhir CEP ini dilindungi OSA buat masa ini diberi kepada PM Dr Mahathir Mohamad tidak diniatkan dikongsi khalayak ramai,” katanya.
Sementara itu, Presiden Gerakan Dominic Lau juga mengkritik tindakan mengklasifikasikan laporan itu di bawah OSA dsedangkan Daim dan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang sebelum ini berkata laporan itu perlu diumumkan.
Beliau juga mempersoalkan alasan laporan itu diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi.
