Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Daim 'gembira' jika ada pihak mahu ketuai rundingan ECRL
Diterbitkan:  Mar 31, 2019 12:59 PM
Dikemaskini: 4:59 AM

Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin berkata beliau "gembira" jika ada mana-mana pihak yang berminat untuk menggantikan peranannya dalam rundingan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan China.

Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama The Star yang diterbitkan hari ini berkenaan dakwaan sesetengah pihak dalam Pakatan Harapan (PH) yang tidak senang dengan pelantikannya sebagai ketua rundingan.

Beliau bagaimanapun berkata tidak mendengar sebarang rasa tidak senang hati itu.

"Hanya beberapa penulis yang mencadangkan saya tidak sepatutnya mengendalikan rundingan. Hakikatnya hanya sedikit menteri dalam PH yang benar-benar ada pengalaman berurusan dengan China.

"Saya pernah berpeluang kenal dan berurusan dengan kerajaan China banyak tahun dulu dan telah membina hubungan yang bernilai.

"Saya pasti jika negara mendapat manfaat daripada perbincangan yang diketuai saya ini, mereka yang menurut anda tidak senang itu akan bertenang," katanya seperti dipetik.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad beberapa kali mempertahankan pelantikan Daim, termasuk di Dewan Rakyat baru-baru ini apabila berkata beliau memiliki kemahiran yang diperlukan, selain "diterima" oleh kerajaan China.

Kata Daim, Menteri Kewangan lim Guan Eng perlu mengendalikan banyak perkara dan tidak dapat hanya menumpukan soal rundingan dengan kerajaan China.

"...Rundingan dua hala ini memerlukannya menghabiskan banyak masa dalam satu perkara. Beliau ada banyak perkara penting yang perlu dikendali sebagai menteri kewangan dan perlu menyelesaikan masalah yang malangnya diwarisi oleh pentadbiran lalu.

"Saya telah membantu kerajaan dalam rundingan dua hala sejak 1980-an. Saya sangat gembira untuk menyerahkan rundingan ini kepada sesiapa yang berminat. Saya tahu (bekas menteri) Rafidah Aziz, misalnya, ada pengalaman dalam hal ini," katanya lagi.

'Hubungan M'sia-China penting'

Dalam wawancara itu, Daim turut membangkitkan salah tanggapan bahawa pentadbiran PH tidak setuju dengan ECRL yang digantung pada Julai lalu.

Menegaskan kepentingan hubungan dengan China, beliau berkata kerajaan hanya membantah perjanjian "berat sebelah" yang dimeterai pentadbiran BN.

"Saya pernah kata projek infrastruktur secara asasnya memberi manfaat kepada negara. ECRL tak terkecuali. Tetapi ia perlu dibina dengan terma yang lebih baik dan memberi manfaat kepada Malaysia.

"Kerajaan China memahami perkara ini," katanya.

Katanya, pertimbangan sama turut terpakai kepada projek yang telah dibatalkan kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata "ada ruang" untuk rundingan dan menjalankan semula projek itu, "terutama jika ia melibatkan syarikat berwibawa yang menepati garis masa projek."

"Kerajaan PH perlu menilai semula projek berdaya maju dan teruska pelaksanaannya, jika berjaya mendapatkan harga munasabah dengan spesifikasi sama."

Beliau bagaimanapun mengakui ada projek yang dibatalkan memang tidak munasabah, iaitu Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP).

Menurut laporan, syarikat yang mengendalikan projek itu telah menerima 90 peratus bayaran walaupun baru menyiapkan 13 peratus kerja pembinaan.

Dalam laporan The Star yang lain, Daim dipetik berkata rundingan ECRL sudah hampir mencapai kata putus.

Katanya, kedua-dua pihak kini di peringkat memutuskan beberapa "perincian kecil".

 

Lihat Komen
ADS