Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Negara mengalami lambakan graduan yang membimbangkan berikutan ketidakstabilan ekonomi selain perkembangan teknologi seperti kehadiran kecerdasan buatan (AI) yang mengambil alih tugas manusia.

Pengarah Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan berkata, tidak banyak syarikat ingin menambah pekerja kerana faktor ekonomi yang tidak memberangsangkan membuatkan mereka menjimatkan kos operasi.

"Bila graduan membuat permohonan untuk pekerjaan, peluang untuk mereka dipanggil temuduga saja hanya 4 peratus - bukan untuk dipanggil dapat pekerjaan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Jelasnya, daripada 100 pekerjaan yang diwujudkan, 89 merupakan pekerjaan berjawatan rendah (rank and file) meskipun graduan memiliki kelayakan akademik.

Beliau diminta mengulas laporan media yang mengatakan lebih ramai menganggur hingga akhir 2020 melibatkan lebih separuh graduan tempatan sekiranya mereka tidak melengkapkan diri dengan kemahiran diperlukan oleh industri.

"Sebenarnya bukan kita (majikan) tak puas hati dengan kemahiran para graduan. Memang kita ada isu dengan kemahiran mereka tapi (sekarang) faktor keadaan ekonomi.

"Kalau ekonomi itu bagus, kita ada kemahuan untuk melatih pekerja-pekerja berkenaan supaya mereka itu lebih sesuai dengan kehendak syarikat.

"Tapi apabila keadaan ekonomi tidak memberangsangkan, kebanyakan syarikat bukan nak tambah pekerja tapi nak buang pekerja.

"Jadi isu lambakan itu memang benar-benar terjadi kerana keadaan ekonomi, permintaan majikan agak rendah dan juga sekarang ini pun kita ada teknologi AI dan robotik," katanya.

Katanya, banyak syarikat seperti industri perbankan yang mula melakukan perubahan sedemikian untuk memastikan kos operasi mereka dapat dikawal dari segi jangka masa panjang dan produktiviti dapat dikekalkan.

10,000 hilang pekerjaan dalam 3 bulan

Sementara itu beliau berkata, setakat ini sekitar 10,000 pekerja hilang pekerjaan dalam masa tiga bulan pertama tahun ini, iaitu purata 3,300 dalam tempoh sebulan.

Menurutnya, mereka datang daripada pelbagai bidang, antaranya melibatkan industri pembuatan, pembinaan dan juga perdagangan runcit (retail trade).

Shamsuddin juga berkata dengan keadaan ekonomi sedia ada, manifesto Pakatan Harapan sebelum ini untuk mewujudkan 1 juta peluang pekerjaan untuk anak muda adalah satu perkara yang mustahil.

Katanya, ini dapat dilihat apabila graduan dalam bidang perubatan juga menghadapi kesukaran untuk diserap ke jawatan tetap.

Lambakan penjawat awam

Beliau menyifatkan jumlah 1.7 juta penjawat awam sedia ada hari ini adalah merupakan satu lambakan dan perlu diberi perhatian.

Jelasnya, nisbah penyediaan perkhidmatan yang diberikan oleh seorang pegawai kerajaan bersamaan dengan 17.3 penduduk.

Ini berbeza dengan di United Kingdom, di mana seorang pegawai bersamaan dengan 118 penduduk.

"Jadi kalau nak dibandingkan dengan Malaysia, memanglah jauh berbeza dan kerajaan sebenarnya mempunyai lebihan penjawat awam di situ," katanya.

Pada 21 Februari lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa saiz penjawat awam di negara ini terlalu besar dan perlu dikurangkan.

Mahathir berkata, jumlah 1.7 juta penjawat awam ketika ini membuatkan kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan yang banyak. 

Lihat Komen
ADS