Paling Popular
Terkini

Seorang ahli perniagaan, G Gnanaraja, didakwa di mahkamah hari ini atas tuduhan memperdayakan pegawai kanan sebuah syarikat yang dilantik menjadi kontraktor utama bagi projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Gnanaraja dituduh memperdaya Pengarah Urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, sebanyak tiga kali pada 2017 untuk mempercayai bahawa dia mempunyai hubungan politik yang mampu membantu menutup siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Zarul.

Tuduhan dibacakan jurubahasa di depan Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Rozilah Salleh.

Gnanaraja yang bersut hitam dan berkemeja biru muda mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas semua pertuduhan yang dibacakan.

Pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Umar Saifuddin Jaafar dan Allan Suman Pillai manakala Gnanaraja diwakili Geethan Ram Vincent.

Hakim menetapkan ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin. Dia juga diarah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah esok, selain dikehendaki hadir ke pejabat SPRM jika diperlukan.

Hakim menetapkan 6 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes dan tarikh penyerahan dokumen.

Kumpul dana untuk serah

Untuk rekod Zarul disiasat SPRM mengikut Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam tuduhan pertama, Gnanaraja didakwa memperdayakan Zarul supaya menyerahkan RM2 juta kepadanya di Hotel Eastin, Selangor sekitar Julai 2017, manakala untuk tuduhan kedua, dia dituduh memperdayakan Zarul agar menyerahkan RM15 juta secara rentas akaun di bank CIMB cawangan KLCC pada bulan yang sama.

Untuk tuduhan ketiga pula, Gnanaraja dituduh melakukan kesalahan sama dengan memperdayakan Zarul supaya menyerahkan tambahan RM2 juta kepadanya di Hotel Eastin, Selangor, sekitar Ogos 2017.

Zarul Ahmad

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan, serta boleh dikenakan denda.

Bercakap kepada pemberita selepas sebutan kes, Umar Saifuddin berkata mangsa (Zarul) percaya dengan janji yang diberikan tertuduh dan mengumpul duit untuk diserahkan kepada ahli perniagaan terbabit.

“(Tertuduh dakwa) dia ada hubungan dengan orang yang berkuasa untuk menutup kes dari SPRM.

“(Tertuduh) menggunakan (dakwaan mempunyai) hubungan politiklah,” katanya.

Pada tahun lalu, Zenith dilaporkan mahu menyaman dua pihak yang menerima bayaran untuk kerja rundingan berkaitan dengan projek terowong bernilai RM6.3 blilion itu.

Menurut sumber, tindakan itu dibuat kerana kedua-dua pihak didakwa mereka gagal melaksanakan tugas masing-masing seperti yang sepatutnya.

Salah satu pihak itu ialah seorang "ahli perniagaaan" yang dibayar RM19 juta, manakala seorang lagi ialah Anggota Parlimen Baling Abdul Azeez Rahim.

Abdul Azeez didakwa menerima bayaran RM3 juta untuk kerja-kerja rundingan.

Lihat Komen
ADS