Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Beli Equanimity, Genting 'berlegar' dalam saga 1MDB

Putrajaya kini boleh menarik nafas lega setelah menerima tawaran lelongan AS $126 juta (RM514 juta) untuk kapal persiaran mewah, Equanimity, yang hanya kurang AS$ 4 juta daripada harga minimum yang ditetapkan.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tahun lepas memulakan usaha mendapatkan dan melupuskan aset yang didakwa diperoleh menggunakan dana 1MDB yang dicuri itu.

Kapal mewah yang dibeli ahli perniagaan Low Taek Jho itu dikatakan menggunakan wang yang dialihkan daripada syarikat pelaburan Malaysia.

Setelah menerima bantuan Indonesia bagi merampas kapal tersebut, kerajaan menghadapi masalah iaitu untuk membiayai kos RM2 juta sebulan bagi menyelenggarakan kapal berkenaan yang kini berlabuh di pantai Langkawi untuk dipamerkan kepada pembeli.

Selepas tiba di Malaysia pada Ogos lalu, kapal itu menarik minat hartawan di seluruh dunia, yang menjangka kerajaan akan menjual dengan nilai lebih murah akibat keperluan untuk menjual segera kapal berkenaan.

Tawaran Genting Group bernilai AS $ 126 juta melenyapkan kebimbangan tersebut.

Nilai semasa kapal itu tidak jelas berdasarkan susut nilai dan kos pembaikan, tetapi Low dipercayai telah membelanjakan kira-kira AS$ 250 juta ketika dia memperoleh Equanimity pada tahun 2014.

Kemunculan Genting di penghujung skandal 1MDB ini bukanlah kali pertama berlaku. 

Syarikat konglomerat juga terlibat dengan 1MDB pada awalnya, apabila dakwaan penyelewengan dalam syarikat milik negara itu belum terdedah.

1MDB beli aset kuasa Genting

Pada bulan Mac 2012, 1MDB diberitakan membeli aset kuasa Genting di Kuala Langat, Selangor dengan harga RM2.34 bilion, walaupun konsesinya hampir tamat.

Seorang penganalisis dipetik oleh harian perniagaan, The Malaysian Reserve sebagai berkata pembelian 1MDB adalah "overpriced by a mile", menunjukkan bahawa jumlah itu cukup untuk membina loji janakuasa baru.

Genting, dalam laporan tahunan 2012 mengakui keuntungan sebanyak RM1.89 bilion daripada jualan itu, yang bermakna sebelum ini ia hanya menilai aset kuasa itu pada RM400 juta.

Pembangkang pada masa itu menimbulkan persoalan mengenainya tetapi tidak diendahkan.

Selepas perjanjian itu, Genting dan anak-anak syarikatnya membuat sumbangan "tanggungjawab sosial korporat" yang belum pernah berlaku sebelum ini sebanyak RM190 juta pada tahun 2013, yang memberi impak ke atas keuntungan kumpulan itu.

Sumbangan untuk pilihan raya

Tidak jelas kepada siapa Genting sumbangkan dananya, tetapi sekurang-kurangnya RM35 juta diberikan kepada sebuah syarikat bernama Yayasan Gemilang 1Malaysia, menurut Institut Penyelidikan RHB dalam satu nota pada 30 Mei 2013.

Hanya sedikit yang diketahui mengenai entiti itu pada masa tersebut, yang ditubuhkan pada Januari 2013, empat bulan sebelum pilihan raya umum ke-13.

Yayasan Gemilang 1Malaysia digambarkan sebagai entiti yang "menerima sumbangan dan memberi bantuan dalam bidang pendidikan, sukan, kebudayaan dan lain-lain". 

Salah seorang pengarahnya ialah Perdana Menteri Najib Razak.

Terdapat spekulasi bahawa sumbangan itu berkaitan pilihan raya umum, tetapi hubungkaitnya tidak pernah dibuktikan pada masa itu kerana Yayasan Gemilang 1Malaysia menukar namanya kepada Yayasan Rakyat 1Malaysia selepas menerima sumbangan itu.

Jadi sementara Yayasan Rakyat 1Malaysia disebut secara terbuka semasa pilihan raya umum ke-13, termasuk pengumuman Najib bahawa ia akan mendermakan RM2 juta kepada sekolah-sekolah di Pulau Pinang, nama Yayasan Gemilang 1Malaysia tidak pernah muncul di ruang awam.

Yayasan Rakyat 1Malaysia dipercayai menerima wang daripada Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd milik taikun Ananda Krishnan selepas menjual asetnya dengan cara yang sama kepada 1MDB berharga RM8.5 bilion pada Mac 2012.

Tidak jelas jika Yayasan Rakyat 1Malaysia juga menerima "sumbangan" daripada sumber lain. 

Bagaimanapun, syarikat itu yang digambarkan sebagai badan amal 1MDB, kini menjadi subjek siasatan dalam perbicaraan pengubahan wang haram Najib yang melibatkan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Pihak oendakwaan, pada hari pertama perbicaraan Najib semalam, meminta lebih banyak maklumat mengenai syarikat itu daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Pembelian loji jana kuasa Genting yang dikatakan terlalu mahal, diikuti dengan sumbangan politik, mungkin membangkitkan amaran tertentu. Bagaimanapun, cerita itu tidak berakhir di situ.

Dana dialih

Di sebalik tabir, Genting dengan tidak sengaja diheret dalam keadaan yang mengerikan.

1MDB telah menggunakan perjanjian Genting dan Tanjong sebagai premis untuk menerbitkan dua bon berjumlah AS $ 3.5 bilion.

Bon itu disusun oleh Goldman Sachs. Secara kebetulan, Goldman adalah syarikat sama yang dikatakan 1MDB menghasilkan "penilaian bebas" untuk aset kuasa Genting.

Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB, yang dinyahsulitkan berikutan tumbangnya kerajaan Najib pada pilihan raya umum ke-14 tahun lalu, mempersoalkan kaedah penilaian Goldman.

Jabatan Audit Negara menyatakan penilaian Goldman untuk aset kuasa Genting sebanyak RM2.56 bilion kepada RM2.64 bilion termasuk nilai terminal RM1.16 bilion.

"Nilai terminal bagi loji kuasa itu tidak sepatutnya dipertimbangkan dalam pengiraan nilai perusahaan, kerana aset itu tidak lagi bernilai pada akhir tempoh konsesi," katanya.

Selepas 1MDB menerbitkan dua bon berjumlah AS$ 3.5 bilion, hanya sebahagian daripadanya dibayar kepada Genting dan Tanjong untuk aset kuasa yang dikatakan terlalu mahal.

Jumlah baki AS$ 1.367 bilion pada dasarnya dialihkan dan disalahgunakan. Ia dikenali sebagai fasa Aabar-BVI, satu daripada empat fasa di mana sekurang-kurangnya AS $ 4.5 bilion didakwa dicuri dari 1MDB, menurut Jabatan Kehakiman AS.

'Berlegar semula'

Pada tahun 2012, pembelian aset kuasa Genting oleh 1MDB telah dibayar melalui 1MDB Energy (Langat) Limited, yang mana syarikat induknya adalah 1MDB Energy Holdings Limited.

Ironinya, dengan pembelian Equanimity tujuh tahun kemudian, Genting berurusan dengan 1MDB Energy sekali lagi. Bagaimanapun, kali ini konglomerat itu yang membayarnya.

1MDB Energy, bersama dengan syarikat 1MDB Global Investment Limited dan 1MDB induk adalah entiti yang memohon kepada mahkamah untuk menjual kapal mewah yang dirampas.

Kapal layar itu tidak asing dengan Genting kerana Resorts World Bimini di Bahamas menjadi hos kepada kapal persiaran dan kompleks marina terbesar di negara itu.

Genting, dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia semalam, mengesahkan ia membuat tawaran untuk membeli The Equanimity pada 28 Mac. 

Jualan itu dijangka dimuktamadkan pada akhir April.

Ia berkata kapal layar mewah itu akan membolehkan Genting "membezakan dirinya daripada pesaingnya dan menyediakan Genting dengan kelebihan yang unik dan berdaya saing untuk pelanggan dan perniagaan bertaraf premium".

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS