Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Daulat Tuanku, kata TMJ
Diterbitkan:  Apr 5, 2019 9:57 PM
Dikemaskini: 1:57 PM

Tunku Mahkota Johor kelihatan menyambut baik berita mengenai penarikan diri Malaysia daripada Statut Rome seperti diumum perdana menteri hari ini.

Tanpa membuat sebarang rujukan secara langsung kepada Dr Mahathir Mohamad Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggunakan Twitter menyatakan pandangannya.

Long Live the King. Demi Agama, Bangsa dan Negara. Daulat Tuanku,” ciapnya beberapa jam selepas perdana menteri mengumumkan pendirian kerajaan terhadap ratifikasi Statut Rome.

Beliau serta Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memang lantang menentang rancangan kerajaan untuk menerima Statut Rome.

Selepas Menteri Luar Saifuddin Abdullah dilaporkan menandatangani dokumen ke arah penerimaan statut itu pada 4 Mac lalu, Tunku Ismail mendakwa Majlis Raja-raja tidak didapatkan pandangannya sebelum tindakan itu diambil.

 

Bagaimanapun Wisma Putra mendakwa Saifuddin sudah memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad mengenai hasrat Putrajaya pada 15 Feb lalu.

Sultan Ibrahim pula memberi amaran, ratifikasi perjanjian itu melanggar perlembagaan negara dan memberi kesan kepada raja-raja, hak istimewa Melayu serta kesucian Islam di Malaysia.

Statut Rome yang mempunyai hubungan secara langsung dengan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bagi mengendalikan perbicaraan membabitkan empat jenayah teras iaitu pembunuhan beramai-ramai, jenayah ke atas kemanusiaan, jenayah perang dan pencerobohan.

ICC ditubuhkan pada 2002 dan ditadbir mengikut Statut Rome.

Sementara itu bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim berkata kerajaan tidak boleh menyalahkan raja-raja atau musuh politik mereka atas penarikan Malaysia daripada Statut Rome serta Icerd sebelum ini.

"Kamu tidak memiliki keyakinan untuk membuat penjelasan dan memahamkan konsep mudah tentang dunia.

"Pemimpin jenis apakah kamu semua?" katanya - juga di Twitter.

Bagaimanapun bekas menteri Umno Abdul Rahman Dahlan menyambut baik keputusan kerajaan.

"Ini pusingan U yang sangat dialu-alukan. Memang jelas Kementerian Luar tidak melakukan rundingan dengan pemegang taruh seperti sepatutnya serta tidak memberikan nasihat yang baik kepada perdana menteri dalam isu sepenting itu," ciapnya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS