Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'MB ke KL perkara biasa, jangan dengar khabar angin'
Diterbitkan:  Apr 7, 2019 5:42 PM
Dikemaskini: 9:51 AM

Setiausaha Akhbar Osman Sapian mengesahkan menteri besar Johor itu akan ke Kuala Lumpur esok, namun menolak khabar angin pemimpin Bersatu itu akan digantikan.

Abdul Hakim Abdul Rahman dalam kenyataan berkata, Osman dijadual menghadiri mesyuarat bersempena pemukiman pemimpin-pemimpin Singapura dan Malaysia yang ke-9, Selasa depan. 

"Jadi datang awal untuk persediaan meeting itu perkara biasa.

"Kalau MB nak jumpa PM pun itu perkara biasa memandangkan sesuatu perbincangan perlu diadakan untuk persediaan mesyuarat sebelum mesyuarat besar berlangsung.

"Janganlah percaya khabar angin yang bukan-bukan. Sekarang ni ramai pihak yang cuba mengelirukan orang ramai untuk kepentingan peribadi dan politik," katanya.

Terdahulu, beberapa sumber memberitahu Malaysiakini bahawa Osman akan bertemu Perdana Menteri Mahathir Mohamad esok ketika tersebar kiriman WhatsApp yang mengatakan menteri besar itu akan digantikan.

Khabar angin itu tersebar di tengah-tengah berita mengenai pergeseran antara Putrajaya dan istana Johor.

Jumaat lalu, Mahathir mengumumkan bahawa Malaysia menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antabangsa (ICC) berikutan bantahan pelbagai pihak. 

Putera Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim adalah antara pengkritik paling lantang membantah treati berkenaan.

Tunku Ismail mendakwa Statut Rom yang mentadbir ICC dalam mengendalikan kes jenayah kemanusiaan, pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang dan pencerobohan akan mengancam kedudukan Yang di-Pertuan Agong, Melayu dan Islam .

Mahathir berkata keputusan menarik diri dibuat bukan kerana statut itu membahayakan negara, tetapi disebabkan kekeliruan oleh "orang tertentu yang mahu bebas memukul orang."

Mahathir juga mendakwa terdapat usaha untuk melibatkan Raja-raja Melayu agar menandatangani perintah bagi menentangnya.

Semalam, Presiden PKR Anwar Ibrahim ketika ditanya sama ada Mahathir merujuk kepada mana-mana ahli politik, berkata ia adalah "personaliti tertentu daripada kerabat diraja".

Anwar berkata beliau pasti mengenai perkara itu kerana telah bertemu dengan Mahathir untuk membincangkannya.

Lihat Komen
ADS