Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRK RANTAU | Menteri Pertahanan Mohamad Sabu sekali lagi mendakwa kerajaan terdahulu memanipulasi laporan audit tahunan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sehingga bayaran dividen lewat diumumkan.

Bagaimanapun, katanya pihak yang mengkritik kerajaan terus memainkan isu perkauman untuk menutup kelemahan tersebut.

"Siapa dalam (Lembaga) Tabung Angkatan Tentera? Melayu ke Cina? Siapa curi? Siapa tipu? Ini kamu curi, kamu rompak, kamu tuduh Cina.

"Sampai bila nak main politik macam tu? Macam kita tak ada maruah nak bela Melayu," katanya ketika berucap di hadapan lebih 150 hadirin di Kampung Mambau semalam sempena kempen pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau

Turut hadir calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram, Speaker DUN Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Omar dan Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Tahir.

Sehubungan itu Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata Kementerian Pertahanan akan mengisytiharkan semula laporan audit LTAT bagi tahun 2018.

Sebelum ini Mohamad berkata pengumuman dividen LTAT masih belum dapat dibuat berikutan masalah akaun yang berpunca daripada pentadbiran kerajaan lalu.

Ini selepas bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan isu kelewatan dividen dan bonus LTAT serta Lembaga Tabung Haji (TH).

Sementara itu, Mohamad turut mendakwa TH 'hampir bankrap' namun kini diselamatkan apabila kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM17.8 bilion kepada agensi itu bermula tahun depan.

"Siapa jadi Menteri kewangan, dia bertanggungjawab satu tahun kena masuk duit dalam TH sebanyak RM17 bilion. 

"Menteri kewangan (sekarang) bukan Najib," kata beliau.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Zukri Samat baru-baru ini berkata suntikan dana itu akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh 10 tahun atau sehingga sukuk diterbitkan ditebus semula susulan pemindahan aset TH kepada syarikat tujuan khas (SPV), Urushartanah Jemaah Sdn Bhd (UJSB).

Zukri berkata bayaran pertama sebanyak RM500 juta akan dibuat pada tahun depan dan seterusnya sebanyak RM1.73 bilion setiap tahun selama sembilan tahun atau sehingga semua sukuk itu ditebus semula.

Pembangkang baru-baru ini mengkritik agihan hibah TH sebanyak 1.25 peratus yang merupakan kadar terendah dalam sejarah.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof menyalahkan pentadbiran TH lalu yang didakwa melakukan manipulasi akaun bagi membolehkan agihan tinggi hibah diumumkan.

Lihat Komen
ADS