Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hari ini tampil menjelaskan kenyataannya semalam yang mendakwa laporan berkenaan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dimanipulasi kerajaan terdahulu.
Kata Mohamad, laporan yang dimaksudkannya dalam ceramah di Rantau semalam merujuk kepada laporan kewangan LTAT, dan bukannya laporan audit seperti yang dilaporkan media.
“Laporan kewangan sedang dalam proses disediakan oleh LTAT dan akan dikeluarkan dalam jangka masa terdekat.
“Segala kekeliruan amat dikesali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dakwaan tersebut dibuatnya dalam ceramah di Kampung Mambau, Negeri Sembilan sempena kempen PRK Rantau semalam.
Kata Mohamad, pihak yang mengkritik kerajaan PH sengaja terus memainkan isu perkauman untuk menutup kelemahan tersebut.
"Siapa dalam (Lembaga) Tabung Angkatan Tentera? Melayu ke Cina? Siapa curi? Siapa tipu? Ini kamu curi, kamu rompak, kamu tuduh Cina.
"Sampai bila nak main politik macam tu? Macam kita tak ada maruah nak bela Melayu," katanya di hadapan lebih 150 hadirin.
Dalam ceramah sama, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata Kementerian Pertahanan akan mengisytiharkan semula laporan audit LTAT bagi 2018.
Sebelum ini Mohamad berkata pengumuman dividen LTAT masih belum dapat dibuat berikutan masalah akaun yang berpunca daripada pentadbiran kerajaan lalu.
Hal itu berlaku selepas bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan isu kelewatan dividen dan bonus LTAT serta Lembaga Tabung Haji (TH).
