Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu tiada haji kali ke-2: 'Orang lain pun nak masuk syurga'

TINJAUAN | Penetapan Tabung Haji (TH) agar pencarum yang sudah menunaikan haji tidak lagi dibenar mendaftar semula bagi mengerjakan ibadah itu buat kali kedua dilihat mendapat sokongan masyarakat umum.

Tinjauan Malaysiakini berkait isu tersebut mendapati rata-rata pencarum TH menyambut baik langkah tersebut bagi memberi peluang dan keutamaan bagi mereka yang mahu mengerjakan haji kali pertama.

Bagi Samsul Zakaria Sharipman, 51, langkah diambil TH itu sepatutnya sudah lama perlu dilaksanakan dan katanya ketetapan itu lebih adil kepada setiap pencarum.

"Ya, keutamaan kepada orang yang tak pernah pergi haji, sebaliknya kalau nak pergi lagi perlu bayar penuh (tanpa subsidi).

"Ia lebih adil dari segi pemberian subsidi terhadap setiap seorang," katanya yang juga seorang kakitangan syarikat swasta dan pemuzik sambilan.

Tunggu 100 tahun

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan TH, Zukri Samat berkata, pihaknya menetapkan pendeposit yang sudah menunaikan haji tidak lagi dibenar mendaftar semula bagi mengerjakan ibadah itu buat kali kedua.

Katanya, keputusan itu diambil bagi mengelakkan jemaah kali pertama terpaksa menunggu giliran lebih seratus tahun

Bagi penjawat awam, Dhani Ahmad, 30-an, ketetapan oleh TH itu dipersetujuinya walaupun dalam hal beribadah tidak mempunyai had dan batasan.

"Memanglah tak ada batasan dalam beribadah, awak ada kemampuan awak boleh pergi buat haji tiap tahun.

"Tetapi dalam konteks mengerjakan haji ini, kalau kita (yang mampu) selalu boleh tunaikan haji ia akan memberi kesan kepada orang lain.

"Jadi bagilah peluang kepada orang lain dah kita pergi banyak kali dah. Sekali pun cukup untuk tunai kewajipan. Orang lain nak masuk syurga juga, bukan kita saja," katanya yang juga seorang penjawat awam di Kelantan.

Bagi kakitangan kerajaan negeri, Hazalina Hamzah (gambar, atas), 30-an, langkah yang diambil TH itu wajar diambil supaya pencarum tidak perlu menunggu giliran terlalu lama untuk menunaikan rukun Islam kelima buat kali pertama.

"Setiap muslim pastinya menyimpan hajat untuk menunaikan haji, jadi wajarlah keutamaan diberikan kepada mereka yang belum menunaikannya.

"Bagi mereka yang berkemampuan dan mahu mengerjakan haji bagi kali kedua, diharap pihak TH menetapkan syarat-syarat tertentu yang lebih ketat," katanya ketika ditemui di Kota Bharu.

Sementara itu, Zilhanifa Sidek, 36, pula berpendapat TH juga perlu mengutamakan golongan pencarum yang berusia warga emas khususnya bagi yang belum berpeluang menunaikan ibadah haji.

"Golongan warga emas perlu diutamakan jika cukup syarat-syarat ditetapkan, khususnya tak (pernah dapat) pergi. Jika mereka cukup syarat dan mempunyai kemampuan perlu diutamakan," katanya yang juga pekerja swasta.

Dalam perkembangan sama, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof, TH akan mencari kaedah untuk memendekkan tempoh menunggu bagi pendepositnya mendapat giliran menunaikan ibadah haji. 

Beliau berkata, ia akan dilakukan pihak pengurusan TH selepas berjaya mengimbangi kedudukan kewangannya yang sebelum ini mengalami defisit sehingga RM4.1 bilion.

Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur pada Julai tahun lalu mengesahkan kuota haji bagi Malaysia pada 2018 kekal diperuntukkan untuk 30,200 jemaah.

Lihat Komen
ADS