Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Banglo RM6 juta: 'Check' la kalau rumah saya, kata Mat Hasan
Diterbitkan:  Apr 9, 2019 1:14 PM
Dikemaskini: 5:29 AM

PRK RANTAU l Calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau Mohamad Hasan enggan mengesahkan sama ada sebuah banglo bernilai RM6 juta di Saujana Duta, Seremban 2 adalah miliknya seperti yang didakwa di media sosial.

“Tak tahu, check la sama ada saya punya ke tidak. Semua orang kata rumah saya sini rumah saya sana.

Check la kalau rumah saya, kalau bukan, bukan rumah saya. Saya malas (mengulas) la, cerita budak bodoh macam main pondok-pondok,” katanya kepada pemberita semasa berkempen di TUDM, Sendayan, hari ini.

Semalam, calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram meminta penjelasan Mohamad Hasan berhubung dakwaan calon BN itu memiliki rumah banglo di Seremban 2 yang memiliki rekaan seni bina rumah Minangkabau.

Streram yang juga timbalan pengerusi PKR Cabang Rembau mengulas gambar rumah Minangkabau tersebut yang ditularkan di media sosial.

Isu rumah bekas MB itu menjadi perbincangan PRK Rantau selepas Mohamad menyatakan rasa sedih apabila terpaksa meninggalkan kediaman rasminya susulan kekalahan BN pada pilihan raya umum lalu.

Beliau kemudiannya menjelaskan dirinya tidak bermaksud untuk mengatakan tidak mampu membeli rumah.

"Saya kata saya tak ada tempat untuk dituju, bukannya tak ada duit.. Saya lupa beli rumah di Seremban," katanya.

Susulan kenyataan Mohamad itu, tular beberapa gambar dan video di media sosial mendakwa beliau memiliki sebuah banglo di Seremban 2.

Mengulas soalan wartawan bahawa beliau dicabar untuk mengemukan bukti bahawa rumah berkenaan bukan miliknya, Mohamad berkata, tidak ada keperluan bagi beliau berbuat demikian.

"Buat apa saya nak cabar-cabar, biar dia buang peluru dia. Buat apa saya nak buang peluru saya.

“Itu cara mereka nak memburuk nama saya dan mengaibkan saya. Daripada dulu lagi mereka buat begitu, tak payah la saya nak jadi budak-budak, mereka main pasir saya main abu.

“Buat apa, saya buat kerja saya tak akan terganggu dan ini cara mereka buat saya goyang dan buat konsentrasi saya terganggu,” katanya.

Sebelum ini, pada April lalu, Mohamad berkata tidak perlu bagi beliau mengisytiharkan asetnya sekadar hanya untuk pilihan raya kecil Rantau.

Menurutnya, beliau telah mengisytiharkan asetnya dengan SPRM ketika menjadi menteri besar, sebagai sebahagian daripada dasar kerajaan Negeri Sembilan, sebelum ini.

Malah, dakwanya, hartanya makin lama makin susut tidak bertambah hingga beliau terpaksa menjual rumah, kereta dan tanah untuk mengurangkan  komitmen susulan tidak ada pendapatan, kecuali pencen dan elaun wakil rakyat.

PRK Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru yang melibatkan Mohamad, calon Pakatan Harapan Dr S Streram dan dua calon bebas, R Malar dan Mohd Nor Yasin.

Kerusi itu kosong selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan untuk mengisytiharkan kemenangan Mohamad pada PRU lepas sebagai terbatal.

Ini berpunca daripada tindakan pegawai SPR menghalang Streram daripada memfailkan kertas pencalonannya pada pilihan raya umum 2018.

Lihat Komen
ADS