Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib tanya Chin Huat: Siapa beri dokumen embargo SPR dulu?
Diterbitkan:  Apr 12, 2019 6:51 PM
Dikemaskini: 12:23 PM

Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini bertanya kepada penganalisis politik Wong Chin Huat berkenaan pihak yang memberikan dokumen syor persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang masih dalam embargo kepadanya, tahun lalu.

Bercakap dengan Malaysiakini, beliau juga mempersoal sama ada Wong dijatuhkan apa-apa hukuman kerana melanggar embargo itu.

"Siapa yang memberi dokumen embargo kepadanya untuk didedahkan pada tahun lalu?

"Bekas yang dipertua Dewan Rakyat (Pandikar Amin Mulia) menolak tawarannya untuk bayar denda RM1,000 kerana melanggar embargo, yang merupakan keaslahan mengikut Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

"Tetapi adakah dia ada menerima apa-apa hukuman lain?" soal anggota parlimen Pekan itu lagi.

Najib mengulas kenyataan Wong - dahulunya anggota jawatankuasa pemandu Bersih - sebelum ini bahawa jika bekas presiden Umno itu ingin mengikut jejak langkahnya dalam melanggar embargo, beliau juga perlu menawar untuk membayar denda.

"Tawar untuk bayar denda RM1,000 kepada yang dipertua (Dewan Rakyat). Jangan hanya ikut separuh," kata Wong.

Ia susulan tindakan Najib memuat naik tangkap layar laporan berkenaan tindakan Wong mendedahkan laporan SPR itu dalam satu forum awam sebelum ia dibentang di Parlimen.

Semalam, Najib dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen selepas didakwa melanggar embargo Kertas Putih Felda, sehari sebelum ia dibentang di Parlimen.

Kertas Putih itu - bertajuk "Ke arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda)" - diberi kepada anggota parlimen sehari sebelum perbahasan 10 April lalu.

Arahan embargo dinyatakan di muka depannya untuk mengingatkan anggota parlimen agar tidak mendedahkan kandungannya sebelum tarikh itu.

Pada 9 April, Najib memuat naik gambar Kertas Putih itu dan mendedahkan satu 'put option' (pilihan untuk menjual aset sebelum atau pada tarikh tertentu) dimasukkan dalam pembelian 37 peratus saham syarikat Indonesia, Eagle High Plantation oleh Felda.

Ketika perbahasan, Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob mendakwa Kertas Putih itu telah dimuat naik di laman rasmi Parlimen sebelum Najib mengongsikan keratannya di Facebook.

Anggota Parlimen Pontian Ahmad Maslan pula berkata jika ia dimuat naik di laman Parlimen sebelum hantara Najib, maka embargo yang dikenakan tidak terpakai.

Menteri d Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong - yang membentangkan usul merujuk Najib ke jawatankuasa itu - bagaimanapun menjelaskan hanya tajuk kandungan Kertas Putih yang dimuat naik di laman Parlimen pada 9 April.

Usul itu diluluskan selepas 86 anggota parlimen menyokong dan hanya 33 anggota parlimen menolaknya.

Lihat Komen
ADS