Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Polis kumpul bukti kertas undi p'raya Indonesia ditemui di M'sia

Kira-kira sepuluh anggota polis dari unit forensik Bukit Aman kini dalam proses mengumpul bukti untuk mengesahkan keaslian kertas pengundian awal pilihan raya Indonesia yang telah bertanda, yang ditemui di Taman Kajang Utama dan Sungai Tangkas di Bangi, semalam.

Pasukan itu tiba di unit kedai di Taman Kajang Utama pada kira-kira enam petang hari ini, menurut sumber polis.

Difahamkan polis sedang memeriksa cap jari dan bukti lain yang berkaitan dengan kertas undi itu, yang kebanyakannya memihak kepada presiden Indonesia Joko Widodo dan pasangannya Ma'aruf Amin.

Gandingan Jokowi-Ma'aruf ditandakan sebagai calon "01" di kertas undi manakala pesaing mereka, bekas panglima tentera Prabowo Subianto dan gandingannya Sandiaga Uno sebagai calon "02".

Menurut laporan semalam, sejumlah 97 beg yang setiap satunya diisi kira-kira 200 kertas undi ditemui di sebuah bilik di tingkat dua rumah kedai di Taman Kajang Utama manakala 158 beg ditemui di unit kedai kosong di Sungai Tangkas.

Penemuan kira-kira 50,000 kertas undi itu mencetuskan kemarahan di Indonesia menjelang pengundian awal bagi penduduknya di luar negara yang akan diadakan Ahad ini, untuk pemilihan presiden dan juga legislatif pada 17 April ini.

Semakan Malaysiakini di lokasi pertama di Taman Kajang Utama menemui kira-kira 40 orang, yang mengisytiharkan sokongan kepada Prabowo-Sandiaga, bersama-sama tiga wakil daripada pasukan kempen nasional pasangan itu yang tiba di Kuala Lumpur hari ini.

Salah seorang daripada pasukan kempen itu, Solihin memberitahu pemberita bahawa mereka ditugaskan untuk mengesahkan sendiri dakwaan berkenaan penemuan kertas undi itu yang tular di media sosial.

"Bagaimanapun kami tidak dibenarkan masuk ke lokasi yang di bawah kuasa polis Malaysia.

"Kami diberitahu polis Malaysia akan menyatakan maklumat berkenaan keputusan pemeriksaan forensik dalam masa terdekat, termasuk keaslian kertas undi dan jumlah kertas undi yang ditanda," kata Solihin sambil menggesa penyokong Prabowo-Sandiaga untuk kekal bertenang.

Difahamkan turut hadir ialah badan pengawasan pilihan raya umum Indonesia (Bawaslu) dari Jakarta, pegawai jawatankuasa pengawasan pilihan raya dari kedutaan di Kuala Lumpur, serta anggota pasukan kempen Jokowi-Ma'aruf.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin mengesahkan dua laporan telah dibuat berkenaan penemuan itu dan Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaannya.

Warga Indonesia yang tinggal di Malaysia mencatatkan jumlah pengundi luar negara terbesar, iaitu kira-kira 1.5 juta orang.

Lihat Komen
ADS