Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KPKT sambut baik 10,000 rumah mampu milik di Bandar M'sia
Diterbitkan:  Apr 20, 2019 12:20 PM
Dikemaskini: 6:44 AM

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengalu-alukan penambahan berganda jumlah rumah mampu milik di Bandar Malaysia, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Menterinya Zuraida Kamarudin merujuk pengumuman Mahathir berkenaan penerusan projek tersebut Jumaat lalu, yang mana kerajaan memutuskan untuk membina 10,000 rumah mampu milik di situ.

Jumlah itu sekali ganda daripada 5,000 buah seperti yang pernah diumumkan bekas perdana menteri Najib Razak pada Jun 2016.

Zuraida menyifatkan keputusan itu sebagai sangat baik, apatah lagi Bandar Malaysia ialah kawasan hartanah bernilai tinggi.

"Jika sebelum ini pembangunan rumah mampu milik golongan berpendapatan RM5,000 ke bawah disasarkan di luar dan pinggir bandar, komitmen kerajaan kini dapat dilihat dengan membuka ruang kepada mereka untuk terus tinggal di bandar dan bandar raya.

"Naratif baru kerajaan kini ialah untuk memastikan golongan ini tidak didiskriminasi secara ekonomi dengan meletakkan tempat tinggal mereka hanya di kawasan yang jauh dari pembangunan dan tiada fasiliti secukupnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain bilangan rumah mampu milik, antara perubahan lain yang diumum perdana menteri untuk Bandar Malaysia ialah pembinaan kemudahan "taman rakyat", penyertaan bumiputera dalam projek itu serta keutamaan kepada sumber tempatan untuk proses pembinaan.

Pada 2016, Najib berkata kontraktor projek, ICSB - konsortium antara Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd dan China Railway Engineering Corp (M) Sdn Bhd - komited untuk membina 5,000 buah rumah mampu milik.

Beliau bagaimanapun menamatkan kontrak ICSB dan melobi agar konglomerat China, Dalian Wanda Group mengambil alih projek. Namun cadangan itu gagal setelah kerajaan China mengambil langkah terhadap pelaburan luar negara oleh syarikat negara itu.

Kata Zuraida lagi, rumah mampu milik di situ - serta di kawasan bandar lain dan perancangan inisiatif lain kementerian - dapat mengurangkan kos pengangkutan golongan berpendapatan rendah yang bekerja di bandar.

"Setiap pelan pembangunan, terutama dalam pembinaan kediaman perlu bersifat holistik, dengan mengambil kira perkembangan komuniti, agar perancangan yang ingin dilaksanakan tidak mengenepikan mana-mana golongan masyarakat," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS