Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jangan lari', aktivis pelajar cabar 4 ahli akademik sertai forum Statut Rom

Aktivis pelajar Asheeq Ali Sethi Alivi mencabar empat ahli akademik yang membentangkan rumusan eksekutif yang digunakan majlis raja-raja untuk menolak Statut Rom, menyertai forum yang membincangkan isu berkenaan esok.

Katanya, keempat-empat ahli akademik itu perlu tegas dalam mempertahankan hujah mereka.

"Saya menggesa mereka untuk hadir sebagai panelis dalam perbincangan sihat, menjawab soalan hadirin, dan mempertahankan hujah mereka.

"Saya mencabar mereka untuk mempertahankan hujah yang mereka bentangkan kepada majlis raja-raja. Jangan lari dan bersembunyi di belakang ahli politik yang mahu kelirukan rakyat. Jadi profesional," katanya kepada Malaysiakini.

Asheeq merupakan jurucakap kepada kumpulan aktivis pelajar yang mendedahkan rumusan eksekutif yang digunakan majlis raja-raja untuk menolak Statut Rom dan mendakwa hujah yang digunakan sebagai berat sebelah.

Tiada usaha rasmi jemput TMJ

Kumpulan aktivis pelajar itu mengadakan forum di Universiti Malaya esok, yang akan menampilkan Peguam Negara Tommy Thomas sebagai salah seorang panelis.

Asheeq berkata dua daripada ahli akademik itu sudah menolak jemputan menghadiri forum berkenaan, sementara dua ahli akademik lain tidak menjawab jemputan mereka.

"Dua yang menolak adalah profesor undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Sharahayu Abdul Aziz dan pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Fareed Mohd Hassan.

"Dua yang belum menjawab jemputan ialah profesor undang-undang Rahmat Mohamad dan pensyarah undang-undang Usim Hisham Hanapi," kata Asheeq.

Asheeq berkata, selain dia dan Thomas, panelis lain yang akan tampil ialah pakar perlembagaan Shad Saleem Faruqi, wakil G25 Noor Farida Ariffin dan peguam Lim Wei Jiet.

Aktivis pelajar itu juga menjelaskan tiada usaha rasmi untuk menjemput Tunku Mahkota Johor Sultan Ismail Sultan Ibrahim menyertai forum itu meskipun kumpulan aktivis berkenaan mengalu-alukan kehadirannya.

"Mungkin selepas forum ini, boleh cuba berhubung (dengan istana Johor)," katanya.

Tunku Ismail merupakan antara yang lantang menentang Statut Rom dengan menyifatkan ia akan menggugat kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa Malaysia akan menarik diri dari menyertai Statut Rom.

Semalam, peguam negara menafikan dakwaan yang menuduhnya gagak meyakinkan majlis raja-raja berhubung Statut Rom.

Thomas dan Shad Saleem sebelum ini membentangkan kertas kerja kepada majlis raja-raja bagi pihak kerajaan berhubung Statut Rom.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS