Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MEF: Jumlah bekerja freelance meningkat kerana sukar dapat kerja tetap

Jumlah golongan yang memilih bekerja sendiri secara bebas atau istilahnya 'freelance' meningkat kira-kira 123.68 peratus berbanding sembilan tahun lalu, kata Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF).

Menurut Pengarah Eksekutifnya Shamsuddin Bardan, jumlah golongan yang menggunakan platform ekonomi gig ('gig economy'), iaitu bergantung kepada kerja sambilan sepenuhnya, adalah 1.7 juta berbanding 760,000 pada 2010.

Kata Shamsuddin, peningkatan itu susulan kurangnya peluang pekerjaan dan kesukaran untuk mendapatkan kerja tetap.

“Peningkatan ketara ini saya merasakan kerana ia terlalu sukar untuk mendapatkan kerja yang tetap kerana kurang peluang pekerjaan itu dan juga keupayaan majikan untuk mewujudkan kerja-kerja.

“Itu pun agak mencabar dan payah buat masa ini kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu dan pasaran dunia yang agak lembab,” katanya kepada Malaysiakini.

Namun, Shamsuddin menyifatkan Malaysia agak bernasib baik kerana anak muda di Malaysia mempunyai peluang pekerjaan alternatif termasuklah menjadi pemandu Grab atau menawarkan perkhidmatan pembeli peribadi atau dikenali sebagai 'personal shopper'.

“Sekarang ini walaupun ada peluang kerja, kerja itu cuma untuk sementara atau pun kontrak untuk setahun dan ada yang kurang daripada setahun.

“Situasi ini tidak memberikan keyakinan kepada mereka ini untuk menerima pekerjaan atau pun tawaran pekerjaan berkenaan, kerana mereka merasakan bahawa kalau mereka mendapat kontrak jangka masa pendek, mengapa perlu menerimanya kerana ia tidak memberikan mereka jaminan," katanya.

Tiada caruman KWSP

Menurut maklumat dari Bank Dunia, bagi tahun 2018, kira-kira 26 peratus populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang bekerja sendiri.

Jumlah berkenaan bagaimanapun termasuk golongan yang mengusahakan perniagaan sendiri atau bersama rakan perniagaan serta memiliki pekerja sendiri.

Sementara istilah 'freelance' di sini lebih kepada golongan yang bergantung kepada kerja-kerja sambilan kecil-kecilan tanpa gaji atau majikan yang tetap, termasuklah menjadi pemandu Grab, penterjemah, atau pereka grafik sambilan.

Shamsuddin Bardan.

Kata Shamsuddin, kebanyakan golongan yang bekerja secara freelance menghadapi risiko berhubung perlindungan kewangan jangka masa panjang kerana tidak mencarum kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Tetapi malangnya, tambah Shamsuddin, kebanyakan golongan berkenaan melihat caruman seumpamanya sebagai kos.

Jelas Shamsuddin, kebanyakan yang menceburkan diri dalam ekonomi gig terdiri daripada golongan berusia di bawah 35 tahun.

“Jadi mereka tak fikir sangat tentang hari tua. Kerana mereka lebih gemar dengan apa yang berlaku pada masa ini.

“Kalau dia ada duit, dia akan pakai duit itu pada masa ini dan tidak fikir pasal hari tua.

“Jadi di sini saya berpendapat adalah perlu mereka yang berada dalam ekonomi gig juga mencarum kepada KWSP, sekurang-kurangnya kalau mereka mencapai hari tua nanti ada simpanan sedikit sebanyak untuk menjamin keadaan mereka,” katanya.

Shamsuddin juga menjangkakan trend bekerja secara freelance akan terus bertambah dari semasa ke semasa, justeru, tambahnya, golongan berkenaan wajib dilindungi dari segi perundangan kerana undang-undang buruh sedia ada hanya memberi perlindungan kepada golongan yang mempunyai majikan.

“Setidak-tidaknya kalau mereka ingin menuntut bayaran untuk kerja yang mereka buat itu, seharusnya ada kemahuan di pihak kerajaan untuk membuat tuntutan itu, atau menjadikan tuntutan itu senang untuk diproses.

“Jadi, pada masa ini memang tiada alternatif, jika yang menerima perkhidmatan itu tidak bayar perkhidmatan yang diberikan, mereka ni terpaksa pergi mahkamah dan tuntut bayar mereka,” katanya.

Lihat Komen
ADS