Universiti Sains Malaysia (USM) akan mengkaji semula kes lima pelajarnya yang didakwa melakukan kesalahan memberi kenyataan media dan mengedar risalah tanpa kebenaran pihak universiti.

Naib Canselor USM Datuk Prof Dzulkifli Abdul Razak berkata kes mereka yang dibicarakan semalam ditangguh ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Dua daripada pelajar terbabit Sek Choon Shiou dan Wong Weng Hoo dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 Peraturan USM (Disiplin Pelajar) 1999 kerana mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai ketidakpuasan hati mereka tentang pilihan raya kampus pada 19 Sept tahun lepas tanpa kebenaran Naib Canselor.

Tiga lagi pelajar Ong Siew Shan, Ng Eik Cheen dan Lau Shu Shi pula dituduh mengikut Seksyen 12(1) peraturan yang sama kerana menerbit dan mengedar risalah tanpa kebenaran Naib Canselor.

"Kami menangguhkan kes ini dan akan mengkajinya semula," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Poland anjuran USM Pulau Pinang hari ini.

Mengikut laporan Bernama, USM tidak membenarkan mana-mana pihak termasuk para pelajarnya menganjur sebarang aktiviti atau menerbit dan mengedar sebarang risalah bagi mewakili nama universiti tanpa meminta kebenaran Naib Canselor.