Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembaharuan institusi bukan isu elit, tegas peguam
Diterbitkan:  Apr 29, 2019 5:49 PM
Dikemaskini: 10:01 AM

Pembaharuan institusi dan isu hak asasi manusia tidak boleh disamakan dengan isu elit, kata Penasihat Lawyers For Liberty (LFL) N Surendran.

"Ia memberi kesan kepada golongan miskin, yang dieksploitasi dan ditindas lebih daripada mana-mana kumpulan dalam masyarakat.

"Sebagai contoh, kematian dalam tahanan atau tiada kewarganegaraan akibat kegagalan institusi ketika era BN, memberi kesan kepada golongan miskin," katanya kepada Malaysiakini petang ini.

Surendran mengulas kenyataan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang mengatakan kemerosotan sokongan kaum Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH) disebabkan gabungan itu "tunduk" pada golongan elit bandar.

Anwar dipetik Channel News Asia sebagai berkata, PH seharusnya menumpukan pada isu-isu asas seperti yang dekat dengan masyarakat Melayu luar bandar seperti kenaikan kos sara hidup dan kejatuhan harga komoditi.


Anwar: Sokongan PH merosot kerana tunduk pada elit bandar


Pendapat Anwar itu turut dipersetujui Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan yang menganggap kerajaan kini dipandu oleh mereka yang berada dalam keselesaan atau digelarkannya sebagai Bangsar Bubble (Busa Bangsar).

Menerusi Twitter semalam, Surendran menolak kenyataan pemimpin Bersatu itu dan menyifatkan sebagai "omong kosong dan putar belit"

Menurut bekas anggota parlimen PKR itu, kerajaan boleh menyelesaikan kedua-dua isu sama ada mengenai pembaharuan institusi atau kos sara hidup.

"Mengapa memperlekeh pemikiran rakyat Malaysia yang mahu pembaharuan institusi dan menyalahkan mereka kerana kegagalan kerajaan membantu golongan miskin di pedalaman?

"Memandang enteng pembaharuan adalah berbahaya. Kita mungkin sekali lagi berdepan kleptokrasi dan penindasan.

"Akhbar bebas, badan kehakiman, institusi utama dan pemansuhan undang-undang yang tidak demokratik adalah penting untuk menghalang ahli politik yang mabuk kuasa dan tidak bertanggungjawab daripada merampas semula Malaysia,"katanya.

Bekas pengerusi Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan dan pengarah eksekutif C4 Cynthia Gabriel turut senada dengan Surendran.

"Setuju! Dan orang-orang yang menolak garis ini turut kelihatan bersama elit bandar (walaupun berguna semasa pilihan raya), " tulis Ambiga di Twitter.

Sementara itu Gabriel menegaskan bahawa isu kos sara hidup juga adalah isu hak asasi manusia.

"Ia memberi impak secara langsung kepada kualiti dan hak hidup. Oleh itu, adalah tidak wajar untuk mengatakan hak asasi manusia sebagai sesuatu yang elitis. 

"Pembaharuan institusi perlu untuk melindungi daripada salahguna kuasa dan rasuah. Hujah tidak masuk akal, "katanya di Twitter.

Jumaat lalu, kaji selidik bebas Merdeka Centre menunjukkan kemerosotan sokongan terhadap PH menjelang ulang tahun pertamanya sebagai kerajaan pada 9 Mei.

Kaji selidik itu mendapati kadar puas hati terhadap PH dalam soal ekonomi hanya 40 peratus, berbanding 56 peratus pada Mei 2018.

Sokongan terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga menunjukkan kemerosotan apabila popularitinya merosot kepada 46 peratus daripada 83 peratus sejak Mei lalu.

Lihat Komen
ADS