Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mufti Perlis persoal penahanan anak murid Zakir Naik

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mempersoalkan penahanan polis terhadap anak murid kepada pendakwah kontroversi Zakir Naik, iaitu Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu.

Mohd Asri mempertikaikan mengapa ceramah disampaikan Zamri di masjid yang menceritakan pengalaman peribadinya memilih agama Islam menjadi sebab penahanan itu.

“Apakah fakta beliau palsu? Apakah beliau menghina atau sekadar kisah dirinya sendiri? Apakah beliau bertujuan untuk menimbulkan ketegangan seperti kenyataan pemimpin-pemimpin yang telah menyebabkan peristiwa tragedi antara kuil dan pihak bomba?

“Tidak pula mereka itu ditangkap? Bagaimana dengan ucapan pemimpin-pemimpin politik dari agama lain yang sering menimbulkan permusuhan dengan masyarakat Islam?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau turut berkongsikan pandangan pendakwah bebas, Firdaus Wong yang memuat naik status berhubung penahanan itu.

Terdahulu, Zamri yang juga pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berpengkalan di Perlis ditahan polis awal pagi semalam atas tuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni berkaitan agama.

Menurut Ketua Polis Perlis Datuk Noor Mushar Mohamad, pendakwah berumur 34 tahun itu didakwa memuat naik kenyataan dalam akaun Facebooknya menghina agama lain, yang dibimbangi menyebabkan ketegangan antara kaum.

Tangkapan terhadap Zamri itu dibuat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

'Islam tak selamat di bawah pentadbiran hari ini'

Dalam hantarannya, Mohd Asri turut membandingkan tindakan pihak berkuasa hanya memanggil untuk memberikan keterangan terhadap ramai pihak yang menghina nabi Muhammad dan mempersendakan ajaran Islam.

Jelasnya, beliau sama sekali tidak menuding jari kepada pihak polis, tetapi menyifatkan keadaan ini berlaku berikutan realiti politik yang membiarkan umat Islam dibuli.

“Suara-suara mempertahankan Islam sukar kedengaran dalam kalangan yang memimpin pentadbiran hari ini, melainkan jumlah kecil.

“Apakah ini satu keadilan? Realiti ini menjadikan rakyat makin akur bahawa Islam berada dalam keadaan yang tidak begitu selamat di bawah pentadbiran hari ini,” katanya.

Terdahulu hari ini, beliau turut memuatnaik hantaran yang berpendapat bahawa ramai pihak merasakan Islam semakin terancam di bawah pentadbiran sedia ada.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa yang diminta mengulas mengenai kenyataan Mohd Asri itu berkata, beliau belum melihat tulisan mufti berkenaan dan enggan mengulasnya.

“Saya hanya menganggap apa yang orang komen itu, kalau ia suatu perkara yang boleh membantu kita menjadi lebih baik, saya terima sebagai komen positif.

“Tapi saya juga tak boleh halang orang daripada memberi pandangan kepada Islam. Sebab itu dasar rahmatan itu sangat penting,” katanya. 

Lihat Komen
ADS