Paling Popular
Terkini

Apabila menilai golongan liberal dan pelampau dalam negara ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof tidak memandang mana-mana kelompok sebagai ‘kurang bahaya’ berbanding kelompok yang lain.

Baginya, sama ada pihak yang ‘meradikalisasi agama’ mahupun yang ‘mencairkan agama’, kedua-duanya sama bahaya.

“Di satu sisi, anda ada pihak ekstrem yang menggunakan agama atau kaum untuk meningkatkan radikalisasi. Anda ada satu lagi ekstrem pula yang mencairkan prinsip-prinsip agama, tak nak berpegang kepada wahyu dan prinsip syariah yang ditetapkan.

“Maka dalam kedua-dua keesktremen itu, kita tak menganggap hanya satu yang bahaya, satu lagi tidak bahaya,” katanya dalam satu wawancara bersama Malaysiakini di Putrajaya pada Isnin.

Mujahid berkata demikian bagi menjawab soalan wartawan yang bertanyakan dari sudut pendekatan dakwah, cabaran mana yang dilihat menteri itu lebih berat antara menghadapi kumpulan dilabel 'liberal' seperti Sister In Islam atau 'ekstremis'.

Kes hina nabi

Katanya, sebagai menteri yang menjaga hal ehwal agama, biarpun mengakui kedua-dua sikap melampau itu mencabar untuk ditangani, namun yang lebih utama adalah bagi memastikan pemikiran tersebut tidak menjejaskan negara.

Jelas Mujahid lagi, kebebasan bersuara bukanlah bermaksud seseorang itu bebas untuk menghina nabi ataupun menghina agama lain.

Mengambil contoh kes hina nabi yang terjadi dua bulan lalu, Mujahid menjelaskan tindakan tegas telah diambil oleh pejabatnya dengan menyediakan ruang untuk orang ramai membuat aduan sebelum memajukan aduan tersebut kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Pada 7 Mac, Mujahid mengumumkan pembentukan unit khas yang diselia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mengawasi semua media dan memantau kes-kes penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan Islam.

Unit berkenaan menerima aduan berhubung perbuatan seumpama itu dan seterusnya membuat laporan polis dan SKMM.

Dalam masa yang sama, jelas Mujahid, umat Islam tidak pula boleh berprasangka secara ekstrem terhadap bukan Islam dengan memandang mereka sebagai golongan yang mendatangkan bahaya kepada Islam.

“Ada (juga) kelompok yang ekstrim pula, yang menganggap bahawa orang bukan Islam ini bahaya, cuba nak kuasai negara, oleh kerana itu kita kena hapuskan mereka dengan padangan-pandangan yang cukup ekstrem seperti menyatakan ini kafir harbi.

“Kafir harbi ni halallah (untuk dibunuh). Jadi benda-benda sebegini yang kita tangani, dua benda. [...] Jadi bagi saya kedua-duanya perlu ditangani,” jelasnya lagi.

Kafir harbi merujuk kepada golongan bukan Islam yang memerangi orang Islam. Oleh itu, golongan ini boleh diperangi dan dibunuh.

Mengulas lebih lanjut, Mujahid turut mengingatkan semua pihak bahawa sikap melampau yang diamalkan sesetengah pihak boleh menjurus ke arah insiden yang tidak diingini seperti insiden tembakan dan pengeboman rumah ibadat seperti yang terjadi di New Zealand dan Sri Lanka.

“Kalau kita tengok di Chrsitchurch dan Sri Lanka, cuba tengok hujah-hujah dia (penyerang). ‘Orang lain tak layak, mereka ini bahaya, ini konspirasi’.

“Sama sahaja. Sedangkan di kalangan rakyat (kita) pun kadang-kadang apabila bersembang, benda itu juga yang dia cakap.

“Siapa boleh jamin kepada saya perkara ini tidak akan membawa kepada peristiwa Christchurch dan Sri Lanka apabila benda itu (keestreman) tertanam. Walaupun tidak mewakili keseluruhan (rakyat), tetapi ia tetap menjadi bahaya kepada negara,” katanya lagi.

Insiden tembakan terhadap dua masjid di Christchurch melibatkan pelampau kulit putih pada 15 Mac mengorbankan 50 orang Islam termasuk seorang warga Malaysia.

Pada 21 April pula, beratus orang terkorban di Sri Lanka apabila tiga gereja dan tiga hotel mewah dibom ketika orang Kristian menyambut Easter. Kumpulan pengganas IS mengaku bertanggungjawab atas pengeboman tersebut.

Di Malaysia pula, beberapa orang disiasat, dibicarakan dan ada juga yang telah dijatuhkan hukuman atas kesalahan menghina agama lain dan tokoh agama.

Antara yang dilaporkan media ialah empat orang lelaki dijatuhkan hukuman penjara kerana menghina Nabi Muhamamd SAW dan Islam, dengan hukuman paling berat dikenakan melibatkan penjara 10 tahun dan 10 bulan.

Seorang bekas jurugambar turut mengahadapi perbicaraan atas tuduhan menghina agama Hindu dalam hantaran di media sosial.

Awal pagi Ahad, anak didik pendakwah kontroversi Dr Zakri Naik, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu ditahan pihak polis atas tuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni berkaitan agama dalam satu program diskusi agama di Perlis.

Belia ditahan selepas beberapa NGO agama Hindu membuat laporan polis terhadapnya atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur menghina agama berkenaan.

Terbaru pada hari Selasa, SKMM menyoal siasat dua individu yang mengguna laman Facebook mereka untuk menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda serta kesucian agama Islam.

Lihat Komen
ADS