Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu penempatan disebabkan hospital latihan tak cukup

Isu penempatan pegawai perubatan siswazah bukan disebabkan lambakan graduan perubatan, tetapi kekurangan kemudahan di sektor perubatan awam, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut Dzulkefly, kekurangan kemudahan tersebut disebabkan perbelanjaan kementerian yang tidak mencukupi.

“Dengan kedudukan kita (situasi kementerian), (sebab) tidak dapat menampung kemasukan HO (pegawai perubatan siswazah) itu, yang meletakkan kekangan itu adalah fasiliti kita.

“Bukan kerana ramainya doktor (sedia ada), tetapi kerana kurangnya fasiliti yang mampu untuk jalankan program housemanship (latihan) di 43 hospital latihan siswazah,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan di Putrajaya pada Selasa.

Doktor dalam tugas. Gambar hiasan.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai tindakan segera yang diambil oleh kerajaan dalam mengurangkan tempoh pengambilan pegawai perubatan siswazah serta pengurangan bilangan pengambilan graduan perubatan.

Ini terutamanya di universiti swasta tempatan yang membuka semakin banyak program perubatan sehingga kekurangan peluang pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

Beliau berkata, masalah ini tidak bersesuaian dengan sasaran kerajaan untuk mencapai nisbah doktor kepada pesakit.

Untuk rekod, setakat ini, nisbah doktor kepada pesakit di Malaysia adalah satu doktor bagi setiap 520 pesakit. Nisbah sasaran merupakan 1:450.

“Inilah kekurangan fasiliti yang saya pernah cakapkan di mana kita (KKM) kurang belanja”” katanya.

Katanya, ia merupakan satu cabaran bagi beliau untuk mendapatkan penyelesaian kepada isu tersebut dan seterusnya memastikan mereka mendapat pekerjaan tetap selepas menamatkan program latihan siswazah.

Dua tahun belum terima surat

Sebelum ini dilaporkan bahawa terdapat pegawai perubatan siswazah yang telah menamatkan latihan dua tahun mereka masih belum menerima surat pelantikan untuk jawatan sebagai pegawai perubatan (MO).

Jelas Dzulkefly, salah satu usaha KKM bagi penyelesaian kepada masalah tersebut adalah melalui pengenalan perkhidmatan klinik maya.

Ia merupakan projek perintis dengan sistem telekonferensi diwujudkan antara pesakit dengan pihak klinik kesihatan (doktor dan pembantu perubatan) secara berkala.

Projek itu mampu mengurangkan beban pesakit, masa menunggu dan masalah parkir untuk hadir ke klinik kesihatan bagi tujuan pemeriksaan dan temu janji yang berulang.

“Namun, kesemua itu bukan datang dengan penyelesaian semalaman tetapi memerlukan peraturan dan kajian.

“Saya juga memandang kepada peluang bagi HO sedia ada untuk menyambung pelajaran mereka supaya mereka mendapatkan FMS (pakar perubatan keluarga) mereka.

“Dan bila ekonomi diperbaiki, saya boleh katakan yang kita akan hentikan moratorium pengambilan mereka. Sebaliknya kita boleh ambil mereka bukan sahaja sebagai pekerja kontrak tetapi kerja tetap.

“Ini semua ditentukan oleh kewangan. Jadi, jika kita ingin ke hadapan dalam meningkatkan fasiliti kita, ia bergantung kepada keupayaan dana,” katanya.

Untuk rekod, sebelum ini kerajaan menguatkuasakan moratorium bagi program perubatan dengan pihak Kementerian Pendidikan sehingga 30 April 2021 untuk mengawal had pengambilan (kuota) graduan perubatan oleh universiti dalam negara.

Jelasnya, setakat ini KKM perlu memikirkan secara kreatif dan inovatif untuk menyediakan peluang pekerjaan tetap kepada mereka yang sedia ada.

“Sebab itu sektor swasta juga perlu buka peluang. Manakala sektor awam akan ke arah klinik maya.

“Dan sekarang kita tahu juga kenapa doktor sekarang menghadapi cabaran dan kini berpindah ke klinik estetik dan sebagainya,” katanya.

Lihat Komen
ADS