Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Jika sultan bayar, k'jaan beli balik tanah Bkt Chagar

Kerajaan akan membeli balik sebidang tanah di Bukit Chagar daripada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sekiranya baginda telah membuat pembayaran, maklum Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, katanya, jika ia belum dibayar maka tidak perlu untuk membeli tanah itu kembali kerana ia milik kerajaan.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Majlis Presiden PH, Mahathir berkata tanah itu diperlukan untuk rancangan Putrajaya bagi membina Sistem Transit Rapid (RTS) dari Johor Bahru ke Singapura.

"Sekiranya baginda telah membayarnya, kami perlu membelinya balik.

"Tetapi jika baginda belum membayarnya, kami tidak perlu membelinya kembali, tanah ini milik kerajaan," kata Mahathir.

Kajian semula RTS

Perdana menteri juga berkata kerajaan bersetuju untuk menjalankan kajian semula projek RTS selama enam bulan sebelum merumuskan keputusan akhir.

"Kita akan tuntut balik tanah itu. Kalau ada pengambilan mana-mana pihak mereka mestilah lalui proses sedia ada apabila tanah nak dimiliki oleh sesiapa.

"RTS kita setuju ambil masa enam bulan untuk kaji semula sama ada kita akan teruskan atau buat cadangan-cadangan lain," katanya lagi.

Mahathir berkata kerajaan belum menerima laporan rasmi mengenai isu tanah itu, termasuk sekiranya Sultan Johor telah membeli tanah yang mengaitkannya dengan "khabar angin" sebagaimana yang dilaporkan media.

Malaysiakini hari ini melaporkan plot tanah yang dikatakan sepatutnya dimiliki oleh kerajaan persekutuan itu kini di atas nama Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sumber yang faham isu tersebut berkata, Jabatan Tanah dan Galian Johor mengetahui perkara pemilikan tanah ini pada 28 Januari lalu.

Tanah berkenaan merupakan salah satu dari lima lot di Bukit Chagar yang diterima Putrajaya dari kerajaan Johor pada 2012 sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran tanah untuk membina Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Johor Bahru (CIQ).

Tidak jelas tarikh atau cara sultan memperolehi tanah itu tetapi sumber percaya pemilikan untuk tanah seluas 4.5 hektar itu dipindahkan di bawah pentadbiran BN sebelum ini antara 2017 dan 2018.

Sumber juga berkata, ini bermakna Putrajaya perlu membayar pampasan RM495 juta untuk mendapatkan tanah yang sepatutnya dimilikinya.

Mahathir turut mengambil maklum cadangan RTS itu tidak akan banyak membantu masalah kesesakan lalu lintas yang menjadi isu antara Johor Bahru dan Singapura.

"Yang jelas RTS tidak selesaikan masalah hadapi antara trafik Singapura dan Malaysia," katanya.

Tanah yang menjadi pertikaian itu kini menjadi tempat meletak kereta.

Landasan tren RTS yang sepanjang 4km itu, dicadangkan untuk menghubungkan stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dengan laluan RTS Stesen Woodlands North Station di Singapura melalui sebuah jambatan 25 meter melintasi Selat Johor.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke menganggarkan projek ini akan menelan RM4 bilion, dan Putrajaya sedang mencari jalan untuk mengurangkan kos.

Mahathir turut berkata bahawa kerajaan pusat terbuka kepada sebarang alternatif murah berbanding RTS.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS