Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Bersatu Johor ibarat retak menanti belah - Khaled
Diterbitkan:  May 3, 2019 9:42 PM
Dikemaskini: Dec 5, 2020 12:19 PM

Isu penukaran Menteri Besar Johor membongkar lebih banyak isu dalaman Bersatu terutama perselisihan antara Pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad dan Presiden parti itu, Muhyiddin Yassin.

Naib Presiden Umno, Khaled Nordin berkata, keadaan itu lebih ketara dalam isu pelantikan pengerusi Bersatu Johor selepas Osman Sapian meletakkan jawatan sebagai menteri besar.

"Jangkaan semua pihak adalah mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan, sama ada di peringkat negeri mahupun kerajaan pusat akan menjadi calon yang berkemungkinan diangkat mengepalai Bersatu Johor.

"Justeru bagi meredakan spekulasi dan khabar angin, Tan Sri Muhyiddin memaklumkan bahawa pengumuman Pengerusi Bersatu Johor akan dibuat oleh beliau tidak lama lagi, yang dijangkakan selepas sambutan Hari Raya kelak.

"Namun adalah sangat memeranjatkan apabila Tun Dr Mahathir pula telah terlebih dahulu mengumumkan YB Mazlan Bujang, yang baru sahaja digugurkan dari exco Johor sebagai Pengerusi Bersatu Johor," katanya dalam satu kenyataan.

Isu penukaran menteri besar Johor sebelum ini mencetuskan polemik berterusan antara perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan istana Johor.

Pada 13 April, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerima menghadap Osman dan bersetuju dengan peletakan jawatannya dengan syarat penggantinya perlu merombak barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor (Exco).

Keesokannya, Adun Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal mengangkat sumpah sebagai menteri besar Johor yang baru.

Sahruddin kemudian melakukan rombakan exco yang menyaksikan Adun Puteriwangsa, Mazlan Bujang dan Adun Skudai, Tan Hong Pin digugurkan.

Kedua-dua individu berkenaan dikatakan tidak disenangi pihak istana.

Mazlan sendiri mendakwa barisan exco yang baru itu terdiri daripada pasukan Muhyiddin.


Baca: Ini tim Muhyiddin


Pada 24 April lalu, Malaysiakini melaporkan Muhyiddin memohon maaf kepada Mahathir semasa mesyuarat tergempar majlis tertinggi parti itu.

Ini selepas Mahathir dikatakan marah terhadap keputusan merombak exco tanpa persetujuan beliau.

Spekulasi perselisihan faham antara Mahathir dan Muhyiddin dikatakan tidak berakhir di situ.

Pada 29 April, Pengarah Media Bersatu Johor Solihan Badri dilapor berkata Muhyiddin selaku presiden parti akan membuat pengumuman mengenai pengerusi Bersatu Johor yang baru selepas hari raya Aidilfitri.

Bagaimanapun, sehari selepas itu, Mahathir mengumumkan Mazlan dipilih sebagai pengerusi Bersatu Johor untuk menggantikan Osman.

'Tamparan hebat kepada Muhyiddin'

Menurut Khaled, pengumuman tersebut bukan sahaja tidak meredakan spekulasi tentang perpecahan dan isu dalaman Bersatu Johor, malah menguatkan lagi sangkaan selama ini.

"Ini kerana pelantikan serta pengumuman oleh YAB Tun Dr Mahathir tersebut secara jelas merupakan satu tamparan hebat yang memberi kesan kepada air muka dan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Lebih-lebih lagi, Pengerusi yang baharu ini dikatakan sebagai calon dari pasukan atau kem yang dianggap tidak menyebelahi pasukan yang menerajui kerajaan Negeri Johor sekarang, yang nyata memihak dan berada di belakang Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya yang juga bekas menteri besar Johor.

Katanya, keadaan itu menyerlahkan situasi bahawa Bersatu Johor benar-benar sudah terbahagi kepada beberapa kem atau pasukan.

"Biar apa pun alasan dan jawapan mereka, apa yang jelas kepada masyarakat adalah Bersatu Johor sedang mengalami satu krisis dalaman dan perpecahan yang tidak dapat disembunyikan lagi, ibarat retak menanti belah," katanya.

Lihat Komen
ADS