Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengerusi baru Bersatu Johor diketahui lepas raya
Diterbitkan:  Apr 29, 2019 10:53 AM
Dikemaskini: 2:53 AM

Teka-teki siapa pengganti Muhyiddin Yassin bagi jawatan Pengerusi Bersatu Johor akan diketahui selepas Aidilfitri nanti.

Pengarah Media Bersatu Johor Solihan Badri berkata pengumuman itu akan dibuat sendiri oleh Muhyiddin selaku presiden Bersatu.

“Kami menjangkakan pengumuman nama pengerusi baru Bersatu Johor akan diumumkan oleh presiden parti selepas Hari Raya Aidilfitri, sebelum pemilihan parti berlangsung.

“Sebelum diumumkan nanti, Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya akan membuat surat rasmi berkaitan lantikan tersebut,” katanya seperti dipetik BH hari ini.

Solihan yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan Johor bagaimanapun enggan mendedahkan siapa calon tersebut.

“Lebih baik jika kita tunggu presiden parti sendiri umumkan. Bagaimanapun, nama calon itu sudah ada dan kami akur arahan pucuk pimpinan,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Jumaat lalu, BH melaporkan bekas anggota exco Johor, Mazlan Bujang, dikatakan bakal dilantik menggantikan Muhyiddin.

Menurut laporan itu, pelantikan Mazlan sebagai pengerusi Bersatu negeri itu adalah arahan pucuk pimpinan parti di peringkat pusat.

Jawatan Pengerusi Bersatu Johor kini disandang Muhyiddin, manakala Menteri Besar, Dr Sahruddin Jamal sebagai setiausaha.

Mazlan ketika dihubungi akhbar berkenaan juga berkata beliau menerima dan reda dengan segala keputusan jika dilantik sebagai pengerusi parti itu di Johor.

Lihat Komen
ADS