Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
TMJ: Sumbangan Sultan Johor tak pula dihebohkan
Diterbitkan:  May 4, 2019 2:38 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil mempertahankan bapanya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Dalam satu hantaran di Twitter, Tunku Ismail bertanya jumlah tanah Sultan Johor telah kurniakan untuk rakyat dan kebaikan lain yang menurutnya tidak dihebohkan.

"Berapa banyak tanah tanah Sultan Johor yang di beri kepada rakyat dan kerajaan sejak dulu hingga ke hari ini? Berjuta duit kurniaan kepada kerajaan? Sultan Johor selesaikan hutang kerajaan masa tahun kedua jadi Sultan. Berapa juta ke yayasan-yayasan? Benda baik tidak di kongsi.

"Contoh rumah mampu milik Johor di Bandar Dato Onn dan Mersing, kedua-duanya tanah ini dikurniakan oleh Tuanku.

"Dibina oleh Tuanku. Tanah masjid, kuil dan tokong yang dikurnia. Orang naik haji? Beribu dikurnia dan bantu oleh Tuanku. Sumbangan-sumbangan ke hospital. No news (tiada berita)," katanya melalui dua ciapan berasingan di Twitternya.

 

Salah seorang pengguna Twitter bernama Abdullah Afiq memberi respons kepada ciapan Tunku Ismail dan menyifatkan sumbangan Sultan Johor yang disebutkan itu adalah tanggungjawab baginda sebagai Sultan dan menurutnya tidak perlu dihebohkan.

Menjawab kenyataan itu Tunku Ismail berkata: "Jadi uar-uarkan hanya yang buruk sahaja? Ok saya faham. Please carry on (teruskan)".

Tunku Ismail membuat kenyataan itu selepas media melaporkan berhubung isu sebidang tanah di Bukit Chagar yang direncanakan bagi tujuan projek Sistem Transit Aliran Johor-Singapura (RTS) dikatakan ditukar milik atas nama Sultan Johor.

Susulan itu, setiausaha sulit Sultan Johor hari ini tampil memaklumkan bahawa Sultan Ibrahim tidak pernah dimaklumkan berhubung perkara itu dan baginda bersedia menyerahkan tanah berkenaan kepada kerajaan tanpa sebarang kos.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan membeli semula tanah itu jika Sultan Johor membayarnya.

Bagaimanapun, Mahathir berkata kerajaan tidak akan mengeluarkan apa-apa wang untuk memperoleh tanah itu jika pemerintah Johor tidak membayar untuk pemilikan tanah itu.

Malaysiakini hari ini melaporkan, tanah di Bukit Chagar dipindah milik pada 19 Nov 2017 ke atas nama Sultan Johor, iaitu dua hari selepas baginda memberi perkenan penjajaran semula projek RTS.

Lihat Komen
ADS