Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Setelah mencipta sejarah pada pilihan raya umum ke-14 lalu, setiausaha agung DAP Lim Guan Eng hari ini memberi amaran bahawa Pakatan Harapan (PH) harus terus membuktikan ia mampu menjadi sebuah kerajaan yang lebih baik.

Dalam ucapan dasarnya di Persidangan Kebangsaan DAP 2019 hari ini, Lim berkata PH mesti menerima hakikat bahawa ramai rakyat Malaysia pada PRU14 mengundi untuk menyingkirkan "kleptokrat" dalam Barisan Nasional.

"Rakyat Malaysia mengundi untuk menyingkirkan kleptokrat tetapi kita harus dengan rendah hati menerima hakikat bahawa bagi kebanyakan pengundi yang mengundi kita bukan bermaksud menyokong penuh Pakatan Harapan.

"Banyak lagi yang perlu kita laksanakan untuk membuktikan kita adalah kerajaan yang jauh lebih baik bagi mendapat sokongan rakyat dalam pilihan raya akan datang. 

"Pengundi yang menggulingkan lawan kita mungkin melakukan hal yang sama kepada kita," katanya.

Pemimpin PH yang menghadiri persidangan yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam itu termasuk Presiden PKR Anwar Ibrahim, presiden Amanah Mohamad Sabu dan setiausaha agung Bersatu, Marzuki Yahya.

Lim berkata dalam melaksanakan tanggungjawabnya, PH harus menyediakan sistem pendidikan, pekerjaan dan peluang perniagaan untuk rakyat demi masa depan negara.

Beliau juga menggariskan cabaran dihadapi terutamanya mengenai naratif perpaduan nasional yang berhadapan anasir tidak bertanggungjawab yang mahu memecahbelah dan menggugat kerajaan PH melalui politik perkauman dan ekstremisme agama.

"Kita tidak boleh melawan kebencian dengan kebencian, tetapi harus bergantung kepada fakta dan hujah.

"Hanya dengan memulihkan ekonomi dan memastikan kemakmuran ekonomi untuk semua kita mampu menang dan menewaskan gerakan yang mahu memecahbelahkan Malaysia dengan melaga-lagakan orang Melayu dengan orang bukan Melayu dan orang Islam dengan orang bukan Islam," katanya.

Tambah beliau, PH perlu membina sebuah naratif baru yang melangkaui bingkai perkauman untuk membawa rakyat Malaysia bersama-sama menyelesaikan masalah sebagai sebuah negara.

"Malaysia masih mempunyai unsur-unsur masyarakat “plural society” lama yang menyaksikan kumpulan kaum yang berbeza hidup bersama tetapi terpisah dari segi pemikiran, hidup dalam ketakutan antara satu sama lain dan melihat segalanya dalam keadaan zero-sum game.

"Ramai yang memperkatakan mengenai kebimbangan dan ketakutan orang Melayu, namun perasaan yang sama juga dirasai oleh orang bukan Melayu," katanya.

Lihat Komen
ADS