BERITA Malaysiakini

Jho Low, penyanyi rap didakwa di AS

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat mendakwa Jho Low dan seorang bekas ahli rap kumpulan Fugees, Prakazrel “Pras” Michel di mahkamah kerana bersubahat menyalurkan dana haram dalam kempen pilihan raya presiden negara itu pada 2012.

Berdasarkan pendakwaan tersebut Jho Low didakwa mengarahkan pemindahan dana sebanyak kira-kira AS$21.6 juta dari akaun dan entiti asing kepada Michel untuk digunakan sebagai sumbangan kempen yang sah dalam pilihan raya berkenaan.

Pemindahan dana itu, menurut DOJ, dilakukan antara Jun dan November 2012.

Bagaimanapun pendakwaan tersebut tidak mendedahkan calon presiden yang mendapat sumbangan daripada ahli perniagaan yang dikehendaki pihak berkuasa beberapa negara terbabit.

Umum mengetahui Michel terkenal sebagai penyokong kuat Barack Obama daripada Parti Demokrat.

Berdasarkan rekod pilihan raya AS, dia pernah menyumbang kepada beberapa jawatankuasa politik yang menyokong kempen pemilihan semula Obama pada 2012 serta beberapa jawatankuasa politik lain Parti Demokrat.

Mengikut undang-undang pilihan raya AS, menjadi kesalahan jenayah bagi warga asing memberikan sumbangan politik dalam pilihan raya AS sama ada di peringkat tempatan, negeri mahupun persekutuan.

Suspek utama kes curi

DOJ mendakwa Michel dan Jho Low - atau nama sebenarnya Low Taek Jho - bersubahat melakukan kesalahan itu dengan menyalurkan wang daripada Low melalui beberapa invididu yang kononnya membuat sumbangan secara sah menggunakan nama masing-masing.

“Low tidak bersalah, dan dia dianggap tidak bersalah bawah undang-undang AS,” kata jurucakap Low dalam satu kenyataan melalui peguamnya.

“Low tidak pernah membuat apa-apa sumbangan kempen kepada AS, baik secara langsung atau pun tidak langsung. Dia tidak tahu-menahu dan menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan dalam perkara yang dituduh terhadapnya itu,” katanya lagi.

Sebelum ini Jho Low berdepan beberapa tuduhan jenayah di AS berhubung skandal 1MDB bernilai berbilion dolar.

Dia dikenal pasti sebagai suspek utama dalam tuduhan mencuri wang 1MDB berjumlah AS$4.5 bilion oleh pihak berkuasa Malaysia dan AS.

Dalam kes dana pilihan raya tersebut, Michel hadir ke sebuah mahkamah persekutuan di Washington, DC untuk menghadapi pertuduhan kes.

Jurucakap DOJ Peter Carr mengesahkan Michel mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu, dan akan kembali ke mahkamah pada 16 Mei untuk pendengaran kes.

“Michel sangat kecewa kerana setelah sekian lama, kerajaan mendakwanya berhubung sumbangan kempen pada 2012,” kata peguamnya Barry Pollack dalam satu kenyataan.

“Michel tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut dan tidak sabar menghadapi pendengaran kes di hadapan juri,” katanya lagi.

Michel dan Jho Low masing-masing berhadapan satu tuduhan penipuan terhadap kerajaan AS dengan dakwaan membuat sumbangan asing dan menyalurkannya sebagai sumbangan kempen.

Michel turut didakwa dengan satu tuduhan menyembunyikan fakta material dan dua tuduhan membuat rekod palsu berhubung konspirasi tersebut.

Selain didakwa menggunakan penderma palsu (straw donors), Michel sendiri didakwa menderma kira-kira AS$1.1 juta menggunakan namanya dan syarikatnya bagi menyembunyikan bahawa wang itu sebenarnya datang daripada Jho Low.

Tarikh dan jumlah sumbangan tersebut berpadanan dengan pendedahan dana persekutuan oleh Black Men Vote, sebuah jawatankuasa politik yang menyokong usaha pemilihan semula Obama pada tahun tersebut.

Ini bukanlah kali pertama DOJ mengaitkan Low dan Michel dalam pembiayaan kempen.

Dalam satu tindakan pelucutan sivil pada 2018, DOJ mengumumkan Michel dan seorang kakitangan DOJ membuka beberapa akaun bank AS bagi menerima berpuluh juta dana dari akaun luar negara yang dikawal oleh Jho Low.

- Reuters