Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tinjauan: Ramai mahu fahami peristiwa 13 Mei
Diterbitkan:  May 15, 2019 8:22 AM
Dikemaskini: 3:40 AM

Rusuhan 13 Mei 1969 mengubah sejarah Malaysia namun ramai yang merasakan mereka tidak begitu memahami peristiwa itu.

Daripada tinjauan yang dijalankan, 87 peratus responden berkata mereka ingin memahami tragedi 13 Mei dengan lebih baik, dengan kira-kira dalam jumlah yang sama mahukan peristiwa 13 Mei itu diajar di sekolah.

 Ketika ini, peristiwa 13 Mei hanya disebut secara ringkas dalam buku teks Tingkatan Lima tanpa membincangkan kejadian sebenar dengan terperinci.

Sebagai contoh, antara ayat yang disebutkan dalam buku teks: "Jika pembangunan negara hanya dinikmati oleh sebahagian masyarakat, ia boleh menyebabkan rusuhan kaum seperti peristiwa 13 Mei 1969."

Berdasarkan tinjauan yang dibuat Malaysiakini, hampir separuh daripada responden mengaku maklum dengan keseluruhan kisah kejadian 13 Mei, sementara suku daripada responden mengaku tahu insiden berkenaan namun tidak tahu punca di sebalik kejadian.

 Kebanyakan responden yang mengaku maklum dengan kejadian 13 Mei berkata mereka mendapat tahu mengenainya di sekolah.

Sumber lain yang disebutkan adalah buku, media sosial dan keluarga, dengan 40 peratus daripada responden berkata mereka pernah mendengar saudara-mara mereka bercakap tentang insiden itu.

Hanya suku daripada responden yang mendakwa mereka kenal individu yang merupakan saksi rusuhan itu.

Tinjauan dalam talian oleh Vase.ai yang dijalankan Malaysiakini sempena 50 tahun berlakunya kejadian rusuhan itu bertujuan mengukur kesedaran orang ramai berhubung peristiwa 13 Mei.

Sejumlah 1,000 responden tinjauan itu adalah merupakan generasi pasca-rusuhan 13 Mei, dengan tiga per empat daripadanya berumur 40 ke bawah.

Demografik itu turut mengambil kira faktor kaum, agama, dan jantina.

Kira-kira suku daripada responden tinggal di Kuala Lumpur dan Selangor sementara yang lain tinggal di negeri-negeri lain dengan taburan yang sama.

 

Peristiwa 13 Mei sekian lama dianggap sebagai topik yang sensitif untuk dibincangkan oleh orang awam, dengan kebanyakan bahan mengenainya hanya mula disimpan di Arkib negara sekitar tahun 2000.

itu.

Berdasarkan tinjauan, kira-kira 62 peratus responden menganggap bercakap tentang rusuhan itu secara terbuka bukan suatu isu.

 Bagaimanapun, kira-kira separuh daripada responden melihat kejadian sama boleh berulang "dengan mengambil kira situasi politik semasa".

Tiga per empat responden juga berpendapat bahawa tragedi berkenaan "disalahgunakan oleh ahli politik bagi tujuan politik".

 Diminta membandingkan hubungan kaum di Malaysia kebelakangan ini, kebanyakan responden berpendapat ia bertambah baik berbanding 1960-an atau 1970-an.

Kurang daripada 40 peratus daripada responden berpendapat hubungan kaum dalam keadaan baik atau sangat baik pada 1960-an atau 1970-an, sementara lebih separuh daripada responden percaya hubungan kaum dalam keadaan baik atau sangat baik sejak 1990-an.

Bagaimanapun, terdapat tanggapan bahawa hubungan kaum terjejas ketika ini, dengan hanya 45 peratus berpendapat ia dalam keadaan baik atau sangat baik ketika ini - penurunan kira-kira lima peratus berbanding 1990-an dan 2010-an.

 Sejumlah 82 peratus responden berpendapat isu hubungan kaum di Malaysia perlu ditangani.

Sementara kira-kira 87 peratus responden berkata mereka mempunyai kawan daripada bangsa lain, dan hampir semuanya bersetuju bahawa mempunyai rakan daripada pelbagai bangsa memberi kebaikan.

Kira-kira 94 peratus responden berkata lebih banyak yang boleh diperoleh daripada individu yang berbeza bangsa.

Sementara, apabila ditanya jika ia mendatangkan keburukan, kira-kira 36 peratus bersetuju.

Artikel berkaitan

13 Mei, moga tak berulang

Kisah Mohsin dan Michael Chang setelah reda api 13 Mei

Menyelak rahsia untuk membantu mangsa 13 Mei atasi trauma

Kenangan 13 Mei: Dari rumah Datuk Harun ke Chow Kit

50 tahun insiden 13 Mei, di mana jalan perdamaian?

Gadai nyawa selamatkan jiran pada 13 Mei 1969

Pembunuhan dan haru-biru di Kampung Baru

Lihat Komen
ADS