Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
13 Mei: Mengapa Malaysiakini membuka luka lama?
Diterbitkan:  May 16, 2019 1:45 PM
Dikemaskini: 3:03 PM

Liputan Malaysiakini sempena ulang tahun ke-50 rusuhan 13 Mei mendapat pujian mahupun kecaman.

Mereka yang menghargainya memuji portal berita ini atas keberanian serta penggunaan teknologi untuk melaporkan perkara yang sekian lama dianggap sebagai tabu.

Yang lainnya pula percaya bahawa rencana-rencana yang disiarkan berat sebelah dan mengelirukan.

Golongan yang mengecam termasuklah mereka yang menyebarkan di media sosial gambar dan butiran wartawan-wartawan Malaysiakini yang terlibat dalam projek ini.

Rencana berikut akan menjawab kritikan yang diberikan kerana sebagai sebuah organisasi media, Malaysiakini percaya akan ketelusan dan menghargai pandangan pembaca, sama ada pihak yang memuji mahupun yang mengecam.

Motivasi

Motivasi yang pertama adalah jelas - kerana ia ulang tahun ke-50 insiden tersebut dan adalah wajar untuk kami membuat laporan retrospektif.

Kami berhasrat untuk mengisi ruang kosong yang tercipta kerana topik ini tidak dibincangkan, supaya ia tidak diisi dengan kepalsuan oleh mereka yang berniat jahat.

Kami juga berpegang pada niat untuk memberi maklumat sebenar kepada mereka yang lahir selepas rusuhan 1969, supaya generasi ini boleh belajar dari insiden tersebut dan tidak mengulangi kesilapan lalu.

Keseimbangan

Pasukan wartawan yang terlibat dalam projek ini terdiri daripada berbilang kaum untuk memastikan tiada bias dari perspektif etnik.

Namun begitu, projek ini ditujukan kepada generasi muda - generasi yang tidak begitu tahu apa terjadi pada 13 Mei, 1969 tapi masih perlu dibebani stigmanya. Oleh itu, wartawan-wartawan yang terlibat kebanyakkan adalah mereka berumur 35 ke bawah.

Kami juga cuba untuk mengimbangi naratif-naratif yang berbeza berkenaan 13 Mei.

Di satu ekstrem dalam spektrum naratif ini adalah pandangan yang rusuhan ini adalah kejadian tidak dirancang, yang dicetuskan oleh perlakuan jelek penyokong parti pembangkang semasa mereka menyambut keputusan pilihan raya umum 1969.

Pandangan yang bertentangan pula adalah insiden ini adalah rancangan politik, dan sebahagian satu kudeta untuk menyingkirkan perdana menteri pada waktu itu, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.

Kami cuba untuk mengimbangi perbezaan naratif-naratif ini dengan merujuk kepada pelbagai sumber termasuk laporan Majlis Gerakan Negara (Mageran), laporan akhbar pada masa itu, penerbitan akademik dan buku-buku berkenaan insiden ini.

Senarai penuh rujukan kami boleh dilihat di laman khas kami dan di hujung rencana ini.

Kami juga telah mengendalikan wawancara dengan saksi-saksi dan keterangan mereka disemak dengan dokumen-dokumen di atas untuk memastikan garis masa dan lokasi-lokasi kejadian adalah munasabah. Jika terdapat keterangan yang bercanggah, bahagian yang bercanggah tersebut tidak diterbitkan.

Keterangan juga tidak akan diterbitkan jika ia tidak menepati garisan masa Mageran, membuat tuduhan yang berat tanpa pengesahan dari sumber lain atau membawa konotasi yang serius.

Sama seperti apabila insiden yang dipetik itu tidak disaksikan sendiri oleh saksi, tapi sesuatu yang merupakan khabar angin atau diberitahu kepadanya.

Kami juga mengambil serius dan berbincang panjang berkenaan penggunaan beberapa terma. Contohnya, kami menggunakan terma ‘rusuhan 13 Mei’ dan bukannya ‘rusuhan kaum 13 Mei’, untuk bersikap neutral dalam pertembungan antara mereka yang menganggap rusuhan tersebut adalah reaksi spontan dan mereka yang menganggap ia rancangan politik.

Mengapa ada insiden yang tidak dilaporkan?

Salah satu kritikan yang paling kerap kami terima ialah mengapa Malaysiakini tidak melaporkan serangan terhadap orang Melayu, atau keganasan yang dilakukan oleh orang Cina. Jawapan ringkasnya adalah, sebenarnya memang kami laporkan.

Namun, terdapat tanggapan yang elemen ini tidak dilaporkan kerana terdapat beberapa pihak yang cuba menyatakan demikian dengan hanya menularkan tangkap layar (screenshot) bahagian laporan kami yang mana mangsa keganasan berbangsa Cina. Ini tidak sama sekali menunjukkan keseluruhan laporan kami.

Contohnya, pembunuhan ramai penonton Melayu di pawagam di tengah bandar dilaporkan dalam laman khas kami, seperti juga provokasi terhadap sekumpulan Melayu yang sedang berarak sehingga mencetuskan pergaduhan pertama pada 13 Mei.

Seorang saksi berkongsi bagaimana beliau mengeluarkan jasad mangsa Melayu dari Sungai Klang dan tong sampah, manakala seorang lagi berkata beliau ternampak penyokong pembangkang menunjukkan kemaluan kepada orang Melayu. Seorang lagi menceritakan bagaimana gangster Cina merancang untuk membunuh jiran-jirannya.

Kami juga menyiarkan keterangan saksi yang melihat rumah-rumah orang Cina dibakar dan keterangan tentang dua lelaki Cina menaiki van dibunuh. Keterangan yang kedua ini dipetik daripada laporan Mageran.

Butiran-butiran ini adalah sangat menganggu, tapi tetap disertakan supaya memberi gambaran yang lebih menyeluruh. Ia juga dialami sendiri oleh saksi-saksi, atau dilaporkan oleh dokumen-dokumen rujukan.

Terdapat juga satu insiden yang kerap disebut yang dikatakan melibatkan penonton Cina di panggung wayang di Pudu. Namun kami tidak terbitkan insiden ini kerana tiada saksi yang berada di tempat kejadian. Mereka hanya diberitahu tentang perkara ini. Dokumen-dokumen rujukan juga tidak menyebut insiden ini.

Yang jelas, mangsa kejadian berbangsa Cina dan Melayu (serta segelintir dari bangsa lain), maka serangan tentulah dilakukan oleh kedua-dua bangsa berkenaan.

Di samping itu, terdapat juga dalam kalangan Cina dan Melayu yang saling membantu sesama yang berlainan bangsa. Dalam analisis terakhir, kita semua kalah.

Untuk rekod, semasa proses penyelidikan kami membina kronologi insiden yang mengandungi 109 kejadian. Kami hanya menyiarkan 18 insiden yang paling penting.

Mengapa Malaysiakini memaparkan lebih ramai Cina mati atau cedera?

Kerana itulah statistik sebenar.

Ramai yang kurang senang dengan infografik kami yang menunjukkan statistik ini dan menggesa kami merujuk kepada laporan Mageran untuk gambaran sebenar. Sebenarnya, infografik itu adalah berdasarkan sumber dan statistik yang dikeluarkan oleh Mageran.

Laporan Mageran yang didedahkan pada umum pada Oktober 1969 tidak menyembunyikan kebenaran ini. Maka, kami juga tidak menyembunyikannya, 50 tahun selepas tragedi tersebut.

Adakah Malaysiakini cuba menyalahkan kaum Melayu atau Cina?

Di sini, kami ingin tekankan bahawa objektif projek ini bukanlah untuk menyalahkan sesiapa ataupun mencari punca rusuhan tersebut.

Laman khas kami, terutamanya, hanya tertumpu kepada menyatakan apa yang berlaku pada hari pertama rusuhan - 13 Mei, 1969. (Rusuhan berlarutan untuk beberapa hari.)

Namun begitu, dalam bidang kewartawanan, adalah penting untuk menyatakan perkara dalam konteks.

Atas sebab itulah insiden penghinaan oleh perarakan penyokong pembangkang pada Mei 11 dan 12 disebut dalam mukadimah laman khas kami, berserta enam gambar untuk menggambarkan suasana tegang di Kuala Lumpur. (Pendekatan yang sama diberikan kepada apa yang terjadi selepas itu dan impaknya kepada dasar kerajaan.)

Kami tidak menerbitkan gambar jasad Encik Nasir, seorang pekerja jentera Umno yang dibunuh di Pulau Pinang menjelang pilihanraya 1969 kerana dasar editorial kami adalah tidak menyiarkan apa sahaja gambar jasad manusia yang tidak bernyawa. Kami juga tidak menyiarkan gambar pekerja Parti Buruh yang dibunuh di Kuala Lumpur pada tempoh yang sama.

Namun, kedua-dua kejadian telah kami disebutkan pada permulaan laman khas itu.

Adakah Malaysiakini cuba mencetuskan sebuah lagi rusuhan?

Sebenarnya, kami inginkan yang sebaliknya.

Rencana-rencana ini cuba untuk menyingkap apa yang berlaku, 50 tahun selepas kejadian, kerana ia masih lagi disalahgunakan oleh ahli politik untuk menakut-nakutkan rakyat demi kepentingan politik mereka sendiri.

Kita sebagai sebuah masyarakat, tidak boleh terus menerus berpura-pura seolah-olah ia tidak berlaku. Ini kerana kesilapan lampau sepatutnya mengajar kita mengenai kepentingan keharmonian kaum dan betapa bahaya politik yang memecahbelahkan masyarakat.

Adakah cerita ini tamat di sini?

Tidak. Rusuhan 13 Mei ini telah menjadi sebuah sejarah peribadi yang kita kongsi bersama. Terdapat banyak cerita 13 Mei yang diwarisi dari generasi ke generasi, tapi tidak pernah direkodkan dengan sempurna.

Ramai saksi yang diwawancara oleh Malaysiakini berumur sekitar 70-an. Jangka hayat rakyat Malaysia adalah 75 tahun. Ini bermakna, ia mungkin peluang terakhir untuk kita merakamkan sejarah lisan ini.

Kami berharap anda dapat berkongsi cerita 13 Mei anda, juga.

Terdapat juga dokumen sulit yang belum diterbitkan hingga ke hari ini - 50 tahun selepas peristiwa tersebut. Oleh itu, perjalanan masih panjang sebelum kita dapat memperoleh maklumat yang tepat tentang apa yang berlaku.

Tetapi ini adalah cubaan Malaysiakini untuk menggunakan semua maklumat yang ada untuk memberi gambaran mengenai kejadian yang terus menghantui rakyat Malaysia. Kita tidak harus melupakannya dan moga ia tidak berulang.

Berikut senarai dokumen rujukan kami:

Laporan Majlis Gerakan Negara (Mageran) berkenaan tragedi 13 Mei (1969)

‘13 Mei, Sebelum dan Selepas’ oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (1969)

‘The Unmaking of Malaysia: Insider's Reminiscences of UMNO, Razak and Mahathir’ oleh Mustapha Ahmad (2007)

13 May 1969: A Historical Survey of Sino-Malay Relations’ oleh Leon Comber (1983)

‘The Kuala Lumpur riot and the Malaysian political system’ oleh Anthony Reid (1969)

‘Malaysia : Death of democracy’ oleh John Slimming (1969)

‘The May Thirteenth Incident and Democracy in Malaysia’ oleh Goh Cheng Teik (1971)

‘Democracy Without Consensus: Communalism and Political Stability in Malaysia’ oleh By Karl Von Vorys (1975)

‘May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969’ oleh Kua Kia Soong (2007)

‘The Deadly Ethnic Riot’ oleh Donald L Horowitz (2001)

‘May 13, 1969: Truth and reconciliation’ oleh Martin Vengadesan, The Star (2017)

Rencana-rencana yang diterbitkan oleh the Straits Times pada Mei 1969



Lihat Komen
ADS