Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kematian dalam tahanan satu sumpahan buat orang miskin'

Kematian dalam tahanan Annbhalagan Muthu yang mengejutkan adalah ibarat sumpahan kepada golongan miskin, kata Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy.

Menurut Ramasamy, mendiang yang berusia 44 tahun dipindah daripada penjara Perlis ke lokap di Pulau Pinang, hanya dua minggu lalu.

Ia selepas permintaan pihak keluarga agar mereka dapat melawatnya dengan lebih mudah, katanya.

"Tetapi malangnya, Annbhalagan mati mengejut pada 11 Mei dan doktor yang membuat bedah siasat pada hari sama berkata kematian berpunca daripada 'gantung diri'," katanya kepada Malaysiakini.

Annbhalagan disabitkan bersalah atas kesalahan pecah rumah dan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun di penjara Perlis.

Isteri mendiang, Deviga Supramani, 41, dan tiga anaknya turut hadir di sidang media di pusat khidmat Ramasamy.

Deviga yang bekerja sebagai buruh berkata, dia tidak mengesan apa-apa kejanggalan pada diri suaminya ketika mereka bercakap menerusi telefon tidak lama sebelum kematiannya.

"Dia tidak percaya suaminya boleh membunuh diri dalam penjara dengan menggunakan selimut," tambah Ramasamy.

"Dia tertanya-tanya sama ada suaminya diserang sebelum membunuh diri, atau sememangnya ia dibuat agar dilihat seperti kejadian bunuh diri," katanya lagi.

Dalam laporan polis pada 17 Mei lalu, Deviga menyebut bahawa dia dipanggil oleh warden penjara pada 11 Mei dan dimaklumkan bahawa suaminya telah membunuh diri.

Pada masa sama, dia berkata terlihat kesan kecederaan pada atas mata kiri mendiang.

Ramasamy menafikan pihaknya menuduh pihak penjara di atas kematian Annbalagan, tetapi berkata pihak keluarga ingin mengetahui apakah sebenarnya yang berlaku.

'Biasanya dari kelas pekerja'

Beliau berkata Hospital Pulau Pinang perlu menunjukkan laporan yang lebih terperinci berkenaan punca kematian, terutama berkenaan kesan luka di bahagian atas mata kiri yang tidak dijelaskan pada sijil kematiannya.

Bedah siasat kedua dapat memberi lebih penjelasan berkenaan perkara itu, katanya lagi.

"Oleh kerana laporan polis telah dibuat, saya menjangka polis Pulau Pinang akan bertindak.

"Keengganan polis untuk membenarkan isterinya membuat laporan pada awalnya, serta komen dari polis bahawa suaminya patut dibakar dan bukan ditanam, adalah tidak perlu dan tidak wajar.

"Sama ada ia adalah tindakan tidak bertanggungjawab anggota polis atau cubaan menutup (perkara sebenar), ia perlu disiasat," katanya lagi.

Ramasamy juga membangkitkan unsur 'kelas' dalam isu kematian dalam tahanan.

"Mereka yang mati, cedera atau diserang ketika dalam tahanan, sama ada di balai polis atau penjara, biasanya dari kelas pekerja, tanpa mengira kaum dan agama.

"Dengan kata lain, kematian dalam tahanan telah menjadi sumpahan kepada golongan malang dan miskin," katanya lagi.

Malaysiakini telah menghubungi polis dan sedang menunggu maklum balas mereka berkenaan kes ini.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS